KUALA LUMPUR:
Selepas penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau
isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah
disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.
"Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada media.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau.
BILAKAH TARIKH PILIHAN RAYA
Tarikh Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak. Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia.
BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan
kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah
pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara,
memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara,
sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.
Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak
kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang
mengendalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya.
Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua
parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui
umum.
Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja pilihanraya umum selesai diadakan.
Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.
Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja
memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya,
kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam tempoh terdekat mengikut
keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang
memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan
kesilapan.
Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya.
Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.
Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada
seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti
lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah
diumumkan.
Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada
penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat
Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh
ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.
Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada
musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya
wajib menang dengan apa cara sekali pun.
Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini.
Rakyat diulit dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun
merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama
ditempat beragama, kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam
BN.
Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam
politik. Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar
dunia Soviet Union hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi,
sehingga negara komunis mengubah pendekatan.
Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti
oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai
kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihanraya sebelum
pilihanraya lagi.
Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh
sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem
demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.
Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun,
naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara
memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana
sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.
PAS mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang
dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak
masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan
Nasional.
Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan.
Walaupun dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat
dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan,
tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.
PRESIDEN PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
.
0 Komen pengunjong :