GEORGETOWN 3 Jun: Arahan diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan
Sri Jaafar Hussein untuk mengundurkan diri ekoran krisis kerugian RM30
bilion akibat urusniaga pertukaran asing pada 1992, kata Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Namun begitu, kata Anwar, Tun Mahathir Mohamad selaku perdana menteri
ketika itu mempertahankan skandal berkenaan, meskipun ia menyebabkan
negara menanggung kerugian.
“Setelah
lebih 20 tahun isu kerugian wang yang amat besar ini tidak mendapat
tindakan yang sewajarnya dari pihak pemerintah yang diterajui oleh
Barisan Nasional.
“Mereka sentiasa berasa selesa walaupun negara mengalami kerugian
dalam transaksi tersebut,” kata Anwar ketika menjadi panel dalam Forum
Skandal Forex Bank Negara, anjuran Penang Institute, di Dewan Sri
Pinang, semalam.
Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr.Rosli Yaakop, antara salah
seorang panel dalam forum yang dikendalikan oleh Julian Candiah itu.
Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
berkata, kerajaan menyatakan kerugian itu berlaku ‘di atas kertas
sahaja’ dan desakan supaya melantik sebuah Suruhanjaya Diraja juga tidak
diendahkan.
“Ini mempamerkan wajah sebenar penyangak dan mereka yang korup dalam
mengendalikan wang negara,” katanya yang menambah isu mengenai spekulasi
mata wang Yen dan Dollar Amerika bermula sejak 1989 lagi.
“Ini juga mereka tidak endahkan. Akhirnya apabila kehilangan wang
negara yang begitu besar berlaku, tiada pihak yang berani untuk membawa
ke muka pengadilan spekulator yang bertanggungjawab,” kata beliau.
.
0 Komen pengunjong :