Kes Scorpene buat Najib terduduk, takut umum PRU


KUALA LUMPUR  : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum membubarkan Parlimen kerana takut kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.
“Pakatan Rakyat sudah lama bersedia menghadapi PRU, sejak 2011. Dah setahun pun, tapi Najib asyik menunda dan mengelak,” katanya dalam ucapan di ceramah Merdeka Rakyat dekat Setiawangsa, malam tadi.
Kata Rafizi, Najib beberapa kali menangguhkan tarikh pilihan raya kerana berdepan banyak isu seperti skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan himpunan Bersih pada 28 April lalu.
“Najib nak buat pilihanraya November tahun lepas tapi bila kita jumpa lembu dalam kondo, terus tak jadi.
“Kemudian jangka umum bulan 3 tahun ni tapi dia tengok kita berkumpul lebih 300,000 orang semasa Bersih 3.0 dekat Dataran Merdeka, sekali lagi tak jadi,” sindir Rafizi mengundang tawa hadirin.
Terbaru, katanya, perkembangan yang berlaku di Perancis membabitkan kes rasuah kapal Selam Scorpene, menyaksikan Najib sekali lagi menagguhkan hasratnya membubar parlimen.
“Terbaru, ada perkembangan panas yang sedang berlaku di Perancis. Kalau Najib tak boleh tangani akan menyebabkan beliau jatuh terduduk. Itu lagi satu sebab Najib takut buat pilihan raya,” katanya menjelaskan isu Scorpene yang melibatkan perdana menteri dengan tuduhan rasuah serta penjualan dokumen rahsia negara.
Rafizi meramalkan jika Najib masih tidak membuat apa-apa pengumuman berhubung pembubaran Parlimen sehingga hujung Jun ini, pilihan raya bakal berlangsung selepas hari raya iaitu September.
“Najib boleh tunda pilihan raya sampai bila-bila pun dia mahu tapi saya nak nyatakan di sini, tak kira lah apa tarikh pun, kamu dan Umno tetap akan kalah,” tegasnya disambut sorakan hadirin.
.

0 Komen pengunjong :