PETALING
JAYA: Demonstrasi jalanan tidak bertujuan untuk menggulingkan kerajaan,
sebaliknya menjadi salah satu cara membentuk sistem demokrasi tulen
dalam negara.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi jalanan satu
cara demokrasi yang sihat dan boleh berakhir dengan aman sekiranya polis
tidak bertindak melepas gas pemedih mata dan menyebabkan keadaan
bertambah huru-hara.
Katanya, hanya kerajaan penakut sahaja yang takut demonstrasi jalanan
kerana menganggap botol air mineral dan garam mampu menggulingkan
kerajaan.
“Kadang kala demokrasi lahir daripada demonstrasi aman tanpa sebarang
keganasan dan senjata,” katanya semasa Debat Sinar di Kompleks Kumpulan
Media Karangkraf malam tadi.
Beliau menegaskan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu
ditubuhkan untuk menyiasat punca keganasan Bersih 3.0, sekaligus menolak
penubuhan Panel Penasihat Bebas yang diketuai bekas Ketua Polis Negara
Tun Haniff Omar.
Diterima pakai
Menurut Naib Presiden PAS ini, demontrasi kini sudah diterima pakai
sebagai medium untuk rakyat menyuarakan pendapat apabila pihak Barisan
Nasional (BN) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kerajaan
turut melakukannya.
“Sebagai contoh Umno Pulau Pinang sekarang ni dah belajar cara untuk
jadi pembangkang. Hari-hari buat demonstrasi. Tetapi kerajaan Pulau
Pinang dan Selangor berikan hak itu dan tidak ada gas pemedih mata,”
katanya.
Sementara dalam debat “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh
Demokrasi” itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah pula
membidas dengan menegaskan demonstrasi bukanlah cara terbaik
mengukuhkan demokrasi jika keselamatan awam menjadi taruhan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tak mahu ambil risiko yang menggadaikan ketenteraman awam.
“Persoalannya bukan boleh demonstrasi atau tidak tetapi adakah ia
mengukuhkan demokrasi yang berfungsi, saya tak nampak jalan itu,”
katanya.
`Bukan Firaun’
Katanya, ada pelbagai cara yang boleh diambil rakyat selain
demonstrasi untuk membolehkan suara mereka mereka didengari kerajaan
pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
“Nak kukuhkan demokrasi bukan begini caranya kerana ini bukan Firaun yang kita hadapi,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin menjamin sekiranya Pakatan Rakyat menawan
Putrajaya, perkara pertama yang dilakukan adalah menghapuksn
undang-undang rimba serta-merta dan akan meyuburkan budaya demokrasi
tanpa menyentuh mana-mana sensitiviti hak dan agama rakyat.
“Apa yang paling penting berikan kebebasan demokrasi kepada rakyat.
Kita akan beri standard prosedur operasi (SOP) yang profesional kepada
PDRM, iaitu tiada gas, tiada belantan,” katanya.
Beliau berkata Pakatan juga akan memberi hak yang sama kepada BN dan
mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad juga pernah
mencari pentas PAS untuk berceramah pada tahun 70-an.
.
0 Komen pengunjong :