Kenapa gas Kelantan naik ke Terengganu?


KUALA LUMPUR:  Gabungan profesional tuntut royalti, pendaratan minyak dan gas ke negeri Kelantan (Royalti) menuntut penjelasan daripada Petronas berhubung pelaburan sebanyak RM15.6 billion bagi pembangunan Projek Lembangan Melayu Utara (Malay North Basin - MNB) yang menyebabkan gas Kelantan didaratkan ke Terengganu.

Ini kerana, dalam tempoh lima tahun akan datang MNB membabitkan pengeluaran Rizab Gas sekitar 1.7 trillion kaki padu di kawasan perairan negeri Kelantan.

Ia melibatkan Blok PM302, Blok PM325, dan PM326B turut membabitkan pembinaan saluran paip sepanjang 300 kilometer dari pelantar carigali dalam perairan negeri Kelantan ke Kerteh, Terengganu.

"Mengapa gas yang dicarigali dalam perairan negeri Kelantan perlu didaratkan ke Kerteh, Terengganu?" soal mereka.

Pihak Royalti mencadangkan agar pembinaan hab pengumpulan, pemprosesan dan pengangkutan gas serta pembinaan paip saluran dibina bagi didaratkan ke negeri Kelantan kerana jarak blok PM301 yang berada dalam perairan Kelantan adalah lebih dekat berbanding ke Kerteh.

Menurut Setiausaha Royalti, Mohd Hishamuddin Ghazali, jarak kawasan carigali yang dinyatakan (PM302, PM325 & PM326B) ke Pantai Senok, Bachok (kawasan yang dirizab untuk pendaratan gas oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990-an) hanya sekitar 140 hingga 160 kilometer sahaja berbanding ke Kerteh sejauh lebih kurang 300 kilometer.

Langkah itu katanya, secara tidak langsung dapat menjimatkan kos yang sangat tinggi dan impak ekonomi yang sangat baik kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan.

"Dimana sekiranya gas didaratkan di negeri ini ia dapat membuka peluang pekerjaan yang bukan sedikit bagi golongan profesional dan juga separa profesional," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, mengambil kira contoh projek pembangunan Loji Pemprosesan minyak dan gas yang di rancang pembinaannya di Pengerang, Johor, dijangkakan akan membuka peluang pekerjaan kepada hampir 4500 golongan profesional.

Manakala, tambahnya bagi golongan separa profsional pula, sekurang-kurangnya 8500 berpeluang untuk berkongsi manfaat hasil dari peluang pekerjaan dalam bidang minyak dan gas dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan KDNK negeri Kelantan selari dengan Konsep Federalisme Negara.

Sementara itu, Royalti yang juga dianggotai oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Gerakan Mobilisasi Anak Muda Kota Bharu Tuntut Royalti (Geram), Solidariti Anak Bachok Tuntut Pendaratan Minyak dan Gas (Cabar) dan Cakna UT akan menganjurkan  “pra-Himpunan Royalti: Menjunjung Titah KDYMM Tuanku Sultan Muhammad ke-V”.

Program tersebut diadakan pada 26 Jun ini bermula jam 9:00 di  Kompleks Darul Naim untuk menyerahkan memorandum tuntutan dan plak royalti yang telah ditandatangani oleh Tuanku Sultan Muhammad ke-V dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pihak kerajaan negeri Kelantan.
.

1 comment :

  1. Sebab CAPEX rendah utk daratkan ke Kerteh (fasiliti sedia ada dan FEED STOCK kian berkurangan) dan juga capaian proses gas lebih awal jika membina fasiliti di Bachok. Dalam erti kata lain makan duit + masa. Ini mungkin adalah jawapan Jurutera Pembangunan PETRONAS. Tapi menafikan royalti, itu keputusan KERAJAAN Malaysia.

    ReplyDelete