KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan
Amerika-Malaysia (Amcham), Fui K. Soong menjangkakan negeri Johor akan
menjadi pusat kepada gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-13 akan datang.
Beliau juga mendakwa, gelombang itu juga mungkin akan merebak ke Melaka sehingga ke Negeri Sembilan.
Menurut
beliau, pada PRU-12 sebelum ini, pusat perubahan itu dilihat bermula di
Pulau Pinang dan membawa kepada negeri sekitarnya iaitu Kedah dan
Selangor.
Menurut Fui K. Soong,
pandangannya itu berasaskan kepada faktor Johor yang mempunyai banyak
kawasan campuran Selepas Selangor dengan kaum Cina adalah majoriti.
Beliau
berkata demikian ketika membentangkan kajiannya di wacana politik dan
persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya hari ini.
Turut
menjadi panel membincangkan tajuk 'Siapa selepas PRU ke-13, BN atau PR'
itu adalah bloger politik Mohd Sayuti Omar dan Editor Sinar Harian
Online Dr G.Manimaran.
Menurut Fui K. Soong, Johor juga antara
negeri 'paling panas' pada PRU-13 nanti dan boleh dilihat dengan
pertambahan pengundi baru paling tinggi iaitu seramai 385,591 orang.
Selain
Johor, negeri yang juga boleh dianggap 'panas' adalah Selangor dengan
pertambahan pengundi baru seramai 373,748, Perak (249,405), Sabah
(149,940) dan Sarawak (164,547).
Sementara itu Mohd Sayuti juga turut memberi pendapat serupa.
Menurut
penulis profilik itu, beliau dapat melihat gelombang perubahan rakyat
yang luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Johor.
Ianya berasaskan sambutan memberangsangkan oleh rakyat terhadap program-program Pakatan Rakyat di negeri itu.
"Sebagai penulis blog dan wartawan, saya ikut jelajah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke Endau sampai lah ke Sembrong.
"Saya dapat lihat kehadiran menakjubkan," katanya.
Selepas
PRU 2008 lalu, banyak pihak melihat Pakatan Rakyat mempunyai peluang
cerah di negeri-negeri Selatan tanah air khususnya Johor dan Negeri
Sembilan yang dahulu terkenal dengan negeri 'kubu kuat' Umno BN.
Ahli
Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS,
juga telah mengesahkan akan bertanding di negeri kelahirannya di Johor
pada PRU-13 ini.
.
0 Komen pengunjong :