SHAH ALAM : Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0
yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.
Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya
Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS
petang ini.
Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian
kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.
“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu
hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh
buat tohmahan untuk menyebelahi kita.
“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.
“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara)
sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam
Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,”
kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.
Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya
menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih
adil.
“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan
suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk
menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini
agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.
Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih
belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH
atau BERSIH 4.0.
“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.
“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat
beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata
beliau.
Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah
penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat
disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
0 Komen pengunjong :