Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang
menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam
perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".
Mengulas kenyataan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsan, Prof Tan Sri Dr
Abdul Shukor Hussin mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata, beliau
setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan
merosakkan harta benda adalah haram.
"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang
dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan
tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.
"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun
rosak," katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa
Kebangsaan.
"Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan
oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz dalam satu
kenyataan hari ini.
Dr Abdul Shukor dilaporkan berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan
haram
untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan
tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara.
Menurut laporan akhbar, pengerusi Majlis Fatwa itu berkata Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.
Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara
Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk
membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara
bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.
"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya
bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan
duduk?
"Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan
yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan
penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada
negara?" soal Nik Aziz.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa fatwa tersebut hanya "laporan akhbar
pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0
sebelum membuat pertimbangan dibuat.
"Justeru, soalan saya ialah fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan
dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?" kata Nik
Aziz lagi.
Sebaliknya, kata menteri besar Kelantan itu, huru-hara tercetus jika ia dihalang.
"Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan
Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan
air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara.
"Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan
Presiden Umno di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas
mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?
"Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti
pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa
Kebangsaan," tambahnya.
.
0 Komen pengunjong :