Kerana takut kalah PRU, BN permainkan Islam


KAMUNTING, 17 MEI:  Satu-satunya cara untuk mewujudkan Malaysia yang baru ialah dengan menolak politik perkauman dan manipulasi agama yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional, termasuk UMNO dan MCA.
Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, politik perkauman dan manipulasi agama telah menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
“Kata-kata “Cina balik China, India balik India’ sudah tidak ada tempat di negara ini. Para pengundi perlu berani untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu ceramah bersama Pakatan Rakyat di sini malam tadi yang dihadiri lebih 6,000 orang.
Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau sendiri telah berusaha untuk memastikan semua kaum, termasuk orang Melayu, mendapat pembelaan sewajarnya kerana ia adalah tanggungjawab semua.
“Saya sendiri menyumbang kepada satu majlis berkhatan beramai-ramai yang melibatkan 500 kanak-kanak Melayu di kawasan saya. Saya juga melawat masjid untuk menyampaikan sumbangan ikhlas serta menyertai umat Islam dalam majlis berbuka puasa.
“Ini membuktikan DAP adalah parti yang bersifat inklusif yang menerima semua orang tanpa mengira kaum dan agama, malah menghormati semua kaum dan agama.
“Jadi jangan lagi percaya dengan fitnah UMNO kononnya Dap adalah parti anti-Melayu, anti-Islam. Itu semua bohong,” ujarnya.
Di majlis yang sama, Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu berkata, selain UMNO, parti komponen BN yang paling takut dengan PAS adalah MCA kerana kepimpinannya bimbang dengan usaha PAS untuk mewujudkan Negara Berkebajikan.
Katanya, apabila PAS tidak menggunakan istilah Negara Islam, MCA bimbang kerana ia tiada lagi bahan propaganda untuk memburukkan DAP yang kononnya bersekongkol dengan PAS bagi menubuhkan Negara Islam.
“MCA selalu memburukkan PAS untuk menakutkan kaum Cina. Tapi tahukah mereka bahawa di Kelantan, kerajaan negeri PAS telah memberikan tanah kepada kaum Cina untuk membina sekolah, malah memberi sumbangan unruk dewan orang Cina. Mengapa MCA membisu dalam hal ini? Ini tidak adil,” tambah beliau.
Menurutnya, parti-parti komponen BN sanggup mempermainkan Islam semata-mata ingin menakutkan rakyat yang semakin ghairah mahu membuat perubahan besar dalam PRU akan datang.

-/ Roketkini.com

0 Komen pengunjong :