Video anak Adun terlibat pindah alamat, bukti penipuan undi.


KUALA LUMPUR 21 April: Pendedahan video seorang anak Adun Umno di Melaka  terlibat dalam memindahkan alamat pengundi, membuktikan penipuan dan komplot jahat  Umno-Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pendedahan ini mengesahkan desakan kita selama ini bahawa memang benar wujudnya usaha tersusun Umno BN untuk menukar alamat pengundi dan merasuah mereka untuk menang pilihan raya,” kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.
“Ia jelas merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya dan wujud cubaan untuk membeli undi,” katanya.
Beliau mengulas video tersebut yang mendedahkan cubaan Umno Melaka  cuba merasuah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya menukar alamat tempat pengundian bagi memberikan kemenangan BN.
Rakaman itu turut menunjukkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat dalam aktiviti yang dijalankan sebelum Mac lalu di empat universiti awam dan swasta di Melaka.
Video tiga sedutan yang setiap satunya kira-kira lima minit itu dirakam secara tersembunyi dan kini tersebar di internet.
Dalam video berkenaan diberitahu bahawa Mahasiswa yang bersedia menukar alamat dijamin akan ditukar semula ke alamat asal mereka selepas selesai PRU serta segala kos ditanggung Umno negeri dengan syarat mengundi calon Umno BN.
“Kita yakin ini adalah tindakan terdesak Umno BN untuk mempertahan Melaka dari ditawan Pakatan Rakyat pada PRU kali ini dan Kita menyeru setiap pengundi seluruh negara segera menyemak nama masing-masing.
“Jika anda mendapati ada sesuatu yang tidak kena mengenai status anda, cepat-cepat membuat laporan atau menemui wakil Pakatan Rakyat berhampiran,” katanya lagi.

0 Komen pengunjong :