Dengan tiga hari lagi menjelang perhimpunan BERSIH 3.0, Himpunan Hijau
menuduh Kementerian Pelancongan di belakang komplot untuk menghalang
gerakan itu membawa penyokongnya dari Kuantan ke perhimpunan tersebut di
Kuala Lumpur.
Presidennya, Wong Tack mendakwa pengusaha bas pelancongan di
Kuantan menerima tekanan daripada kementerian tersebut untuk tidak menyewa sebarang bas kepada gerakan anti-Lynas itu.
Ekoran
itu, Wong (kanan) mendakwa, lapan bas pelancong yang sepatutnya membawa
penyokong Himpunan ke Kuala Lumpur, telah menarik diri.
Walaupun mengakui beliau tidak mempunyai bukti untuk menyokong
dakwaannya, tetapi Wong berkata pengusaha bas ada membayangkan perkara
itu kepadanya.
"Saya tanya mereka (pengusaha bas) mengapa, tetapi mereka enggan cakap
banyak, hanya membayangkan ia ada kaitan dengan 'periuk nasi' mereka,"
katanya kepada
Malaysiakini semalam.
Bagaimanapun, katanya, Himpunan Hijau akan mendapatkan bas kecil dan
kereta persendirian sebagai alternatif untuk membawa penyokongnya ke
ibunegara - kira-kira 250km dari Kuantan.
Himpunan Hijau, sebuah gabungan kumpulan alam sekitar yang
ditubuhkan untuk membantah loji nadir bumi dekat Kuantan, merancang
menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada pagi 28
April, sebelum berarak ke Dataran Merdeka untuk menyertai BERSIH 3.0.
Wong
mengutuk kementerian tersebut kerana didakwa mengancam dan
menakut-nakutkan pengusaha bas dan menuntut penjelasan dari Menteri
Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (kiri).
"Ini bertentangan dengan proses demokrasi. Mereka mesti menghormati kehendak rakyat," katanya.
0 Komen pengunjong :