Mahfuz ajak sertai gerakan Anti Pemalsuan IC


KUALA LUMPUR, 6 April: Perbuatan memalsukan kerakyatan pendatang asing adalah pengkhianatan yang membahayakan keselamatan dan keamanan negara, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar .

"Yang lebih jijik ialah pengkhianatan itu dilakukan oleh parti yang memerintah kerana pembangkang tidak mungkin dapat melakukan perkara itu," katanya.

Serentak dengan itu, beliau mengajak parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini menyertai gerakan Anti Pemalsuan IC (API) bagi menentang pengkhianatan yang dilihat sebagai usaha terdesak untuk mengekalkan cengkaman kuasa Umno ke atas negara ini.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO di seluruh negara yang mahu menyelamatkan negara ini dari ancaman pengkhianatan yang dilihat umum sebagai didalangi oleh Umno itu supaya menyertai PAS dan Pakatan Rakyat menggerakkan API.

"Saya menggesa semua parti politik dan NGO termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), United Pasok. Momogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah)," katanya.

Dengan penyertaan pelbagai pihak di dalam API, Mahfuz yakin usaha menyelamatkan negara dari ancaman pengkhianatan tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengulangi gesaannya ketika berucap di Dewan Rakyat Rabu lalu supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan memberikan kerakyatan kepada pendatang asing untuk membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN).

Mahfuz menuntut penubuhan suruhanjaya diraja itu ketika meminta penjelasan dari kerajaan tentang pendedahan wujudnya satu task force khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang memberikan kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi BN.

"Jika kerajaan jujur, suruhan jaya diraja itu mesti ditubuhkan segera sebelum pilihan raya.

"Mesti ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk nak pastikan supaya pembersihan terhadap daftar pemilih, supaya tidak ada warga asing yang diberikan taraf kerakyatan mereka untuk membolehkan mereka membuang undi dan menentukan masa depan negara kita ini," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan khianat memberikan kerakyatan kepada warga asing itu sebagai perbuatan "menjual negara kita ini kepada rakyat asing untuk semata-mata bagi kepentingan politik pihak kerajaan BN". 

Sebab itulah, tegas beliau, suruhanjaya diraja tersebut perlu diwujudkan bagi memastikan bahawa keselamatan masa depan negara terjamin.

"Keselamatan negara kita ini mestilah bermula daripada proses demokrasi dalam negara kita ini -  iaitu yang menentukan hala tuju masa depan negara kita ini ialah rakyat di dalam negara kita sendiri dan bukannya rakyat asing yang diberikan taraf kerakyatan," tegas Mahfuz lagi. 

2 comments :

  1. Nazaruddin MohamadApril 6, 2012 at 12:12 PM

    Bagus tu, sepatutnya disertai oleh setiap warga Malaysia yang cintakan negara ini. Nak tanya apa status terkini KASE yang rasanya diketuai oleh Mahfudz juga. Harap dapat digerakkan secara aktif semula sebab JPJ & PDRM pun tengah aktif buat operasi saman ekor sekarang ni.

    ReplyDelete
  2. @Nazaruddin Mohamad..... moga semua rakyat sedar agar satu hari nanti kita tidak menjadi hamba di negara sendiri.

    ReplyDelete