SAMM : Hentikan isu Israel, tumpu kepada isu yang bebankan rakyat


Regim selama ini mendabik dada kononnya merekalah pejuang Palestin dengan menjadi penentang Israel nombor wahid.  Malah sentiasa menjadikan isu hubungan Israel ini sebagai modal politik menyerang musuh politik mereka yang konon kompromi dengan Israel.

Sejak tiga tahun kebelakangan ini, SAMM tanpa jemu mendedahkan betapa hipokritnya regim dalam perkara ini.  SAMM telah mendedahkan perbagai dokumen yang membuktikan memang wujud hubungan Malaysia membantu ekonomi Israel ini.

SAMM ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beberapa ahli parlimen Malaysia seperti Er Teck Hwa (DAP, gambar kiri), wakil rakyat Bakri yang telah beberapa kali membawa pendedahan SAMM mengenai isu berkaitan hubungan dagang Malaysia membantu ekonomi Israel.

Selama ini regim cuba menipu rakyat dalam hubungan Malaysia Israel namun apabila Ahli Parlimen Bakri dengan sokongan beberapa ahli parlimen lain membawa beberapa dokumen yang dibekalkan oleh SAMM kepadanya untuk dibuktikan dalam parlimen Malaysia mengenai kewujudan hubungan dagang Malaysia Israel maka Menteri berkenaan terperangkap untuk mengakuinya.  Cuma penjelasan dangkal Menteri dalam persidangan lepas menyebabkan Teck Hwa bangun beberapa kali sehinggalah diperintah keluar dewan.

Perlu ditegaskan hubungan dagang Malaysia membantu ekonomi Israel bukanlah kes terpencil apabila menurut laporan Kesatuan Eropah menyatakan dengan jelas Malaysia merupakan negara yang ke 15 menjadi rakan dagang bagi membantu ekonomi Israel.

Regim juga lepas tangan dengan hanya menyatakan perdagangan tersebut hanya libatkan syarikat asing yang beroperasi dalam negara Malaysia.  Persoalanya ialah barangan tersebut tetap melalui pelabuhan dan Kastam Diraja serta perlu mendapat kelulusan Kementerian berkaitan dan kita mempunyai kuasa jika benar mahu menghalangnya.

Namun yang terbaru, bulan lepas SAMM telah mendedahkan bahawa ia bukanlah semata melibatkan syarikat asing dan peralatan elektronik semata-mata.  Malaysia telah juga berurusan dagang melibatkan komoditi utama negara iaitu penghantaran produk sawit ke Israel bagi membantu ekonomi mereka.

Syarikat berpengkalan di Malaysia dan produk komoditi tempatan digunakan bagi membantu ekonomi Israel.  Antaranya ialah IOI loaders Crocklaan Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat IOI Group yang merupakan syarikat yang punya kaitan rapat dengan regim penguasa.  Mewaholeo Industri Sdn Bhd pula mempunyai alamat perniagaan berdaftar di dalam negara.  Walaupun mempunyai pegangan asing tetapi ia masih beroperasi sebagai sebuah syarikat tempatan.  Ini hanya sebahagian dari banyak syarikat lain yang turut terlibat dalam penghantaran produk sawit tempatan bagi membantu ekonomi Israel.

Menurut laporan dalam laman web RSPO dalam perniagaan sawit IOI disebut dengan jelas punya rantaian perniagaan dengan Felda - Johor Builkers Sdn Bhd.  Dengan jelas penghantaran syarikat IOI ini menurut dokumen rasmi kerajaan menyatakan penghantaran terus ke Israel dan untuk syarikat Israel.

Menurut beberapa carian lain pula penghantaran produk sawit Malaysia ke Israel bukan semata untuk pasaran tempatan Israel tetapi sebaliknya telah menjadikan Israel juga menjadi negara pengeluar produk hasil sawit yang diambil dari Malaysia dan diperniagakan semula.

Ternyata dengan pendedahan ini regim penguasa sudah tidak boleh mengelak lagi.  Regim cuba menggambarkan kononnya merekalah pejuang sejati isu Israel dan Palesti namun dalam sisi lain regim penguasa inilah menjadi penerus dan pelindung hayat Israel.

Satu lagi pendedahan ialah mengenai beberapa syarikat tempatan (bukti ditunjukkan dalam sidang media) mempunyai sijil halal Israel (Kosher) seperti Jakim.  Untuk mendapat sijil halal ini kakitangan (Rabbai) agensi Israel wajib datang dan membuat pemeriksaan kebersihan dan seumpamanya.  Ini bermaksud negara secara sedar membenarkan kakitangan Kerajaan Israel beroperasi di Malaysia.
Kami juga punya bukti bergambar bagaimana hampir setiap kali barangan khususnya makanan untuk dibuat penghantaran pegawai kerajaan Israel pasti berada dalam negara bagi memastikan "keselamatan" dan taraf "halal" barangan tersebut.

Dalam negara terlalu banyak sangat isu seperti kenaikan harga, keselamatan (kes jenayah meningkat), beban pendidikan (pembiayaan pembelajaran) dan banyak lagi, namun kita sudah terlalu banyak menghabiskan masa membincangkan isu Israel-Palestin dan Malaysia ini yang sebenarnya masing-masing cuba menunjuk hero dengan memutar belit perbagai perkara.  Ayuh kita letakkan noktah dalam isu ini.  Israel negara haram, regim penguasa dicabar mengambil sikap berani.

Dengan ini SAMM menyarankan mana-mana ahli parlimen yang prihatin dalam isu Israel supaya membentangkan usul seperti di bawah:
  • Parlimen meluluskan usul tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan menggubal satu undang-undang melarang sebarang bentuk hubungan termasuk hubungan dagang secara langsung mahupun tidak langsung dengan Israel.  Undang-undang tersebut juga seharusnya terkandung larangan penggunaan pelabuhan atau sebarang kemudahan negara untuk sebarang bentuk kepentingan yang mempunyai kepentingan Israel.
  • Parlimen juga seharusnya meluluskan satu usul mengiktiraf HAMAS atau mana-mana parti politik yang dipilih oleh majoriti rakyat Palestin untuk mentadbir negara mereka.
SAMM juga mencabar semua ahli parlimen Barisan Nasional khususnya UMNO untuk sepakat menyokong usul tersebut.  Jika tidak sahlah regim penguasa yang mempunyai jumlah majoriti dalam parlimen Malaysia cuma bersikap "munafik" dalam isu menentang Israel ini dan hanya menggunakan isu ini sebagai alat politik domestik semata-mata.

0 Komen pengunjong :