PAS sokong demo hapus hutang PTPTN sebelum p'raya


Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Katanya, PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapuskira oleh kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Mohamad berkata, kerajaan perlu berbuat demikian sebagai tanda "kasih sayang" kepada para pelajar dan juga sebagai satu bentuk pelaburan kepada golongan muda ini.

Sedangkan, tegasnya, kerajaan sanggup menghapuskira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan tindakan kerajaan yang didakwa menghapuskira pinjaman sebanyak kira-kira RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.

"PAS akan menyokong (perhimpunan) kerana bila Tajudin Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini, hampir 600 juta (hutang) dilupuskan. Kenapa pelajar yang berhutang RM3,000, RM4,000, RM6,000 tak boleh dihapuskira"

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira.  Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," kata Mohamad lagi dalam satu sidang media hari ini.

Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan akan dirancang oleh kumpulan pelajar dan PAS akan menyokong usaha itu.

0 Komen pengunjong :