NFC: Rafizi, Zuraidah Sedia ke Mahkamah


SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin sedia ke Mahkamah untuk membuktikan segala pendedahan yang dilakukan berhubung skandal NFC adalah benar dan bukan bermotif politik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Rafizi berkata berdasarkan laporan berita internet hari ini bahawa Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap beliau dan Zuraidah.
"Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.
"Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.
"Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak." jelas beliau.

Katanya peluang ini memang telah ditunggu-tunggu supaya kuasa mahkamah boleh digunakan untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.
"Dato' Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan
mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.
"Jika pimpinan Umno seperti Dato' Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.
"Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat." kata beliau.

0 Komen pengunjong :