SHAH ALAM, 19 JAN: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AG) memulangkan semula kertas siasatan berhubung penyelewengan syarikat penternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) membuktikan pihak polis tidak berintegriti serta tidak memahami prosidur siasatan.
Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata walaupun AG mempunyai hak untuk memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis namun tindakan ini memberikan persepsi buruk dimata rakyat.
"Pemulangan semula kertas siasatan kepada polis membuktikan pihak polis tidak profesional, lemah dan seolah-olah sengaja untuk melewat-lewatkan siasatan selain tidak faham prosiding siasatan.
"Ini juga bukti selama ini siasatan polis tidak menyeluruh dan mempunyai banyak kepincangan sehingga bila diserah kepada pihak yang lebih memahami prosidur siasatan seperti AG akan menolak kertas siasatan polis.
"Maka tak hairanlah sekiranya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (gambar) pada 30 November lalu berkata siasatan awal menunjukkan tiada unsur pecah amanah." jelas beliau yang juga bekas Setiausaha Agung PAS.
Menurut Idris, rakyat berhak mempertikai siasatan polis selama ini kerana pemulangan kertas siasatan tersebut memperjelaskan institusi keselamatan tersebut tidak profesional serta boleh dipertikaikan tindakan siasatan polis selama ini.
"Sebagai rakyat saya merasa amat kesal dan bimbang dengan masa depan rakyat negara ini yang diadili berdasarkan kelemahan siasatan polis.
"Kalaulah polis yang profesional setentunya siasatan mereka lengkap untuk di serahkan kepada AG sedangkan sememangnya polis ditugaskan untuk menyiasat.
"Kerja polis adalah untuk siasat sejak polis ditubuhkan lagi. Tak kan lebih 54 tahun buat kerja masih tak faham kaedah siasatan." kata beliau.
Jelasnya, Polis telah hilang kredibiliti disebabkan oleh kekangan pihak kerajaan Umno/BN terhadap institusi keselamatan negara tersebut
"Polis ni kalau kes pembangkang memang pantas dan lengkap dengan siasatan cara mereka tetapi kalau kes-kes libatkan pemimpin Umno seperti kes libatkan Sharizat ini buat siasatan sambil lewa sahaja.
"Bayangkan kalau kita terima sahaja kenyataan Khalid dahulu, saya anggap tak akan ada siasatan pada NFC lagi. Tetapi bila pakatan kemukan bukti tambahan baru nak mula kelam kabut nak siasat sampai siasatan pun sambil lewa dan di tolak AG.
"Begitu juga kes libatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu pun macam-macam lapuran dari pihak polis yang dianggap tidak relevan dengan kes tetapi sengaja dilakukan untuk aniaya Anwar." jelas beliau ketika di hubungi TVSelangor
0 Komen pengunjong :