Kes liwat II lebih bermotif politik – peguam

KOTA BHARU, 11 Jan: Seorang peguam hak asasi manusia, Mohammad Faizal Che Yusof menganggap kes liwat II lebih bermotif politik dan ia bukannya kes dakwaan jenayah seksual.
“Dengan kata lain pendakwaan bermula sebaik menjelang pilihanraya umum ke-12 di mana kelihatan ada agenda politik pihak-pihak berkepentingan.
“Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah fakta yang diperolehi daripada perjalanan kes itu sendiri,” katanya di sini.
Kelmarin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat II memandangkan tiada bukti yang menyakinkan.
Faizal berpandangan berdasarkan kepada hujah pihak pendakwa, setidak-tidaknya mahkamah lebih awal tidak perlu memanggil Anwar membela diri.
Menurutnya sejak awal kes lagi pihak pembelaan begitu terbatas mendapatkan dokumen dan bukti sama ada sebelum atau semasa perbicaraan.
“Ia  telah menjejaskan penyediaan kes bagi pihak Datuk Seri Anwar dalam menjawab tuduhan yang dikenakan.
“Selain itu tiadanya wibawa terhadap pembuktian berkaitan DNA. Keterangan berkaitan DNA dilakukan secara tanpa berwibawa atau berlaku kompromi yang tidak seharusnya.
“Mahkamah akhirnya memutuskan adalah tidak memadai untuk sabitan dibuat semata-mata disokong keterangan sekunder dalam kes-kes sedemikian,” ujarnya.
Katanya lagi mahkamah hanya ada satu keterangan sahaja iaitu pengadu Saiful Bukhari Azlan dan sabitan tidak boleh dilakukan tanpa keterangan menyokong dalam kes melibatkan jenayah seksual.

0 Komen pengunjong :