Tiada laporan sahih dari pakar US tentang video seks- N Surendran

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran membidas gesaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mahu polis menyiasat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan video seks fitnah yang cuba mengaitkan beliau.
Wee mendakwa Anwar perlu disiasat kerana kononnya membuat laporan palsu menafikan beliau adalah pelaku dalam video itu yang ditayangkan trio Datuk T.
Menurut Surendran, kedua-dua pakar dari Amerika Syarikat itu sehingga kini tidak pernah menunjukkan kepada umum hasil kajian yang dijalankan mereka ke atas video itu.
“Tidak sebarang bukti saintifik yang kononnya berada dalam tangan mereka dan (sehingga kini) masih tiada lagi laporan yang dinyatakan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.com
“Apa bukti yang mengesahkan kesahihan video tersebut? Mereka hanya sekadar boleh melemparkan tuduhan demi tuduhan dan polis sebelum ini hanya menurut skrip pemimpin Umno,” kata Surendran.
Sebelum ini juga, dua profesor itu, Lorenzo Torresani dan Hany Farid dilapor menjauhkan diri daripada media selepas peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah memetik mereka sebagai pakar yang mengesahkan ketulenan video itu.
Pada masa sama, Surendran menyifatkan kenyataan  Wee Choo Keong sebagai tidak berkredibiliti kerana kerap bersuara untuk memburukkan Pakatan Rakyat walaupun dia sendiri sebelum ini memenangi Parlimen Wangsa Maju atas tiket Pakatan.
“Dia ini sebenarnya langsung tiada kredibiliti kerana melompat dari Pakatan Rakyat (bebas) dan menjadi orang suruhan Umno. Kita tidak perlu memandang serius terhadap kenyataan-kenyataan beliau,” kata Surendran.
Tambahnya lagi, tindakan Puteri Umno yang membuat laporan polis kerana mendakwa Anwar membuat laporan palsu berkenaan video hanyalah sebagai satu gimik dan atas kepentingan politik.
“Puteri Umno dan mereka (Umno) ini memang benci Pakatan Rakyat dan Anwar (jadi jelas) laporan ini hanyalah satu tindakan politik dan mahu memburukkan (Anwar) secara terus menerus,” kata Surendran.

0 Komen pengunjong :