KUALA LUMPUR, 28 Julai: PAS mendakwa polis gagal mengaitkan Bersih 2.0 dengan keganasan apabila sehingga kini tidak mendedahkan hasil siasatan penemuan senjata berbahaya dan t-shirt kuning berlogo Bersih beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin dakwaan penemuan senjata tersebut hanyalah propaganda Umno BN yang menggunakan pihak polis untuk memburuk-burukkan Bersih 2.0.
"Apa yang berlaku sebelum perhimpunan Bersih itu hanyalah propaganda Umno BN untuk menggambarkan peserta Bersih satu kumpulan militan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.Ini matlamat sebenarnya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Awal pagi 4 Julai lalu, polis menemui empat bahan letupan molotov coktail yang diletakkan dalam plastik hitam di Jalan Raja Laut yang didakwa akan digunakan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.
Bahan letupan itu didakwa ditemui bersama beberapa senjata tajam seperti pisau dan parang serta 15 mercun bola dan t-shirt berlogo bertulisan Bersih yang dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan dalam pasu bunga di belakang pusat beli-belah Sogo.
Salahuddin berkata, apa yang menghairankan, polis gagal membuktikan senjata tersebut digunakan peserta perhimpunan Bersih 2.0, malah perhimpunan berlangsung aman melainkan gangguan daripada pihak polis sendiri.
"Ternyata pada hari itu kita berjaya mengadakan perhimpunan yang ternyata aman dan tidak pernah sekali-kali mencderakan atau merosakkan harta awam.
"Memang kita berjaya membuktikan kita tak bawa apa-apa senjata dan bahan-bahan bukti itu perlu diisytiharkan oleh pihak keselamatan apa statusnya.
"Lepas perhimpunan Bersih kita tak tahu status barang-barang tersebut dan ke mana pergi baju kuning yang dirampas polis," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
'Cerita' yang diada-adakan
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan dakwaan penemuan barang-barang tersebut sebagai "cerita" yang sama dengan kes penemuan parang dalam kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis April tahun lalu.
Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15, sedangkan dalam keterangan tiga saksi selepas itu, mereka mendakwa tidak pernah meletakkan parang itu di dalam kereta dan tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa senjata itu.
Menurut Nizar, polis sengaja mengada-adakan cerita untuk memfitnah peserta Bersih 2.0.
"Saya letak cerita ini (penemuan senjata dan t-shirt Bersih) sama dengan kes Aminulrasyid dahulu, episod yang sama, fitnah dari pihak polis dan mereka kena minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana memfitnah.
"Rakyat tak buat macam itu tapi polis mengada-ngadakan cerita jadi terbukti polis sendiri yang buat fitnah," kata beliau yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempertikai tiadanya sebarang tangkapan yang dibuat pihak polis berhubung dakwaan penemuan senjata berbahaya yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0 itu.
"Kita katakan kalau betul apa yang polis dakwa, dah tentulah ada seorang dua yang ditangkap dan dakwa mereka tapi sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang ditangkap.
"Kenapa tak ditangkap orang yang bawa barang-barang berbahaya itu? Jadi ini adalah pembohongan mereka sebelum perhimpunan Bersih. Semasa perhimpunan banyak lagi pembohongan dan begitu juga selepas perhimpunan," katanya yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.
Murid buktikan pada guru lembu makan martabak
9 hours ago
0 Komen pengunjong :