Kecelaruan minda para pemimpin Umno nampaknya sudah sampai ke tahap kritikal. Mereka bagaikan penasaran sehingga tidak lagi mampu berfikir secara rasional. Kerap kali mereka gagal membezakan apa yang benar dan salah, serta mana baik atau buruk pada sesuatu yang berlaku di depan mata.
Manakan tidak jika kenyataan-kenyataan mereka menyentuh beberapa isu kebelakangan ini diambilkira. Tidak perlu kita mengundur jauh ke belakang untuk meneliti kes-kes sebegitu.
Contoh terdekat ialah bagaimana Timbalan Presiden Umno, merangkap Timbalan Perdana Menteri, yang semakin tidak rasional melayani cadangan dan saranan pakatan pembangkang. Sikapnya yang hanya tahu menyalahkan parti lawan dalam setiap perkara membuktikan pemimpin nombor dua negara itu semakin sukar mengakui unsur positif disuarakan pembangkang.
Berpaksikan sentimen politik melampau Tan Sri Muhyiddin menjadikan tabiatnya untuk menggambarkan seolah-olah parti-parti pembangkang tidak ada sumbangan langsung dalam memperbetulkan perjalanan pemerintahan negara.
Beberapa isu membabitkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat dan cadangan kenaikan gaji kelompok guru tertentu baru-baru ini menyediakan contoh lebih spesifik.
Pakatan Rakyat sekali lagi menjadi bahan balunan Muhyiddin. Beliau menyalahkan pembangkang di atas bantahan dan rungutan meluas dalam masyarakat ekoran kenaikan harga gula, petrol RON97, serta ura-ura kenaikan RON95 dan tarif elektrik dalam masa terdekat.
Katanya, pembangkang hanya tahu memanipulasi isu-isu itu untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN). Sedangkan pembangkang sendiri tidak menyumbang apa-apa idea atau perancangan untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi.
Nampak sangat orang nombor dua Umno itu sudah tidak mampu berfikir secara rasional. Beliau malah sekaligus cuba mendinding pengamatan rakyat daripada hakikat yang telah diketahui umum, bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar bercakap kosong mengenai isu-isu terbabit.
Sudah berbuih mulut pemimpin pembangkang, malah tidak sedikit yang kehausan tekak-tekak mereka menyuarakan cadangan dan idea penyelesaian. Tidak cukup secara verbal, Pakatan Rakyat juga secara bertulis telah mengemukakan jalan yang dirasakan paling sesuai mengatasi masalah kenaikan harga bahan bakar dan makanan utama.
Rasanya semua pihak telah maklum bagaimana Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mencadangkan beberapa langkah menangani kenaikan harga petrol, tanpa perlu melibatkan pemotongan subsidi untuk dinikmati rakyat. Antaranya dengan memotong subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), yang mana idea ini nampaknya telah mula dirasionalkan oleh salah seorang menteri BN sendiri.
Ada pun perancangan membela kebajikan penjawat awam, Pakatan Rakyat antara lain mencatatkannya secara jelas di dalam Buku Jingga. Salah satu tawaran yang banyak diperkatakan ialah mengenai kenaikan gaji guru RM500 sebulan dalam tempoh 100 hari memerintah negara.
Ertinya, sekiranya pemimpin Umno tidak dilanda kecelaruan minda, sudah tentu tidak sukar bagi mereka mengakui bahawa Pakatan Rakyat bukan sekadar bercakap atau hanya tahu mengkritik BN. Kita juga sebenarnya telah mengemukakan penyelesaian alternatif, yang rasional dan realistik.
Kemudian datang pula Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno, menyamakan amalan pemberian subsidi kepada rakyat seperti ‘candu’. Dalam kenyataannya di London, 16 Mei lalu, Dato’ Seri Najib Razak berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.
“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” media memetik katanya.
Astaghfirullah al-Azim, inilah yang dikatakan celaru. Bagaimana seorang pemerintah tergamak menganggap tugas murninya menyempurnakan keperluan rakyat sebagai suatu amalan buruk dan wajar dihentikan?
Nampak sangat Umno kini cuba lari dari tanggungjawab memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat, bukan? Lalu bagi merasionalkan tindakan pengecut itu, mereka cuba menyamakan amalan subsidi (membela kepentingan rakyat) sebagai ‘candu’ (sesuatu yang membawa kesan buruk dan mesti dihentikan).
“Ketara benar BN semakin hilang punca dan mati akal memikirkan kaedah menyelamatkan kewangan negara. Yang mereka tahu nampaknya hanya menyalahkan rakyat, lalu memaksa rakyat menanggung beban itu,”tulis seorang rakan.
Menambahkan koleksi kes-kes membuktikan kecelaruan minda pemimpin Umno ialah tanggapan serong mereka terhadap himpunan anak-anak muda di Kota Bharu, hujung minggu lalu.
Media melaporkan, Himpunan 10 Ribu Jentera Pemuda PAS Kelantan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, pada 21 Mei lalu menggamit kehadiran lebih 15,000 anak muda. Sebahagian mereka adalah pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz di negeri itu.
Tidak mengapa jika Umno mahu menempelak PAS di atas kejayaannya menghimpunkan belasan ribu anak muda di stadium malam itu. Para pemimpin Umno boleh mengatakan apa saja untuk memperlekeh usaha PAS itu. Ia boleh diterima sebagai adat politik.
Namun untuk menganggap apa yang dilakukan PAS Kelantan itu sebagai ‘meracuni pemikiran’ anak-anak muda adalah suatu yang amat mendukacita, bahkan agak terlampau. Malangnya, itu lah yang seolah-olah menjadi kegemaran para pemimpin Umno. Mereka kelihatan amat selesa melontarkan tanggapan amat negatif terhadap aturcara yang berlangsung malam itu.
Di sinilah perlunya pemikiran dan penilaian lebih rasional dari semua pihak, khususnya para pemimpin Umno yang semakin tersumbat minda mereka itu. Walau pun majlis malam itu dianjurkan entiti politik dan tidak boleh disangkal memang disulami agenda politik, perlu juga diteliti apakah bentuk pengisian program malam itu.
Bagai dilaporkan kepada umum, ia dipenuhi ucapan-ucapan para pemimpin PAS yang selalunya memang berselit ayat-ayat al-Quran, seruan berjihad meninggikan agama Allah dan pesanan mentaati perintah agama.
Bagi sesiapa yang gemar membelek al-Quran, mereka akan bertemu dengan ayat: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah Allah), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh” (Fussilat 41:33).
Di majlis itu juga, anak-anak muda dilibatkan dengan agenda solat berjamaah, solat hajat, khatam al-Quran dan seumpamanya. Bergema sekitaran Bandaraya Islam itu dengan bacaan ayat-ayat suci.
Apakah Umno tidak mampu membezakan antara kemurnian kalimah suci dengan kebingitan tepik-sorak pentas hiburan yang melalaikan? Mereka bukannya dihimpunkan untuk menjayakan konsert 1Malaysia atau apa-apa anjuran yang tidak menjadikan kalimah Allah sebagai suara utama, sepertimana lazim ditaja Umno.
Ternyata minda pemimpin Umno amat celaru dan keliru sekiranya sanggup menganggap tindakan menghimpun anak-anak muda untuk membaca al-Quran sebagai ‘meracuni’ pemikiran mereka.
Sedangkan al-Quran sendiri mengesahkan bahawa pada ayat-ayatnya itu sebenarnya mengandungi penawar untuk pelbagai jenis penyakit manusia.
Alangkah jahilnya mereka. Astaghfirullah!
0 Komen pengunjong :