Sabotaj: AMK gesa polis segera siasat Perkasa


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat segera Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berhubung insiden kereta Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai disabotaj April lalu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata, beberapa tindakan yang dilakukan Perkasa, termasuk membuat laporan polis sebelum kejadian tersebut meragukan.
“Polis harus menyiasat segera dan soal siasat terhadap Perkasa kerana kita curiga sama ada mereka (Perkasa) terlibat dengan cubaan membunuh Anwar.
“Persoalannya kenapa Perkasa terlebih dahulu tahu insiden yang akan berlaku. Adakah Perkasa juga terlibat melakukan perkara tersebut,” soal Shamsul.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menimbulkan persoalan bagaimana Perkasa mengetahui kejadian sabotaj berkenaan, kira-kira dua bulan sebelum insiden itu berlaku.
Ketua pembangkang itu berkata, PERKASA perlu tampil dengan penjelasan ekoran ancaman yang diterima oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga terhadap anaknya Nurul Izzah.
Pada 10 Mei lalu, pemandu peribadi Anwar, Abdullah Sani Said membuat satu laporan polis berhubung insiden pada 19 April lalu ketika memandu membawa Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dari Ipoh ke Chemor, Perak, yang hampir menyebabkan berlaku kemalangan.
Laporan itu turut melampirkan keterangan mekanik yang membaiki kereta berkenaan, Azman Hassan yang memaklumkan terdapat kerosakan yang teruk pada sistem brek sebelah belakang kanan kenderaan tersebut.
Pada 11 Februari lalu, bekas ketua Pemuda Perkasa, Armand Azha Abu Hanifah membuat laporan polis kononnya mendapat maklumat bahawa Anwar dan beberapa pemimpin KEADILAN didakwa merancang untuk mengadakan kemalangan bagi meraih simpati.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata sehingga kini tidak ada siasatan yang dijalankan pihak Polis terhadap Perkasa, meskipun perkara itu serius.
“Sampai sekarang saya tidak dengar apa-apa siasatan yang dijalankan oleh polis, kalau betul ada cubaan membunuh, perkara ini adalah serius.
“Kita mahu polis mengadakan siasatan secara menyeluruh supaya dapat menyelesaikan segera sama ada berlaku sabatoj atau tidak. Kita tidak mahu laporan itu dibiarkan begitu sahaja kerana dibimbangi perkara lebih buruk melibatkan Anwar sekeluarga,” ujarnya Shamsul.

0 Komen pengunjong :