Isu Kalimah Allah Akhiri Pertemuan Najib, Nik Aziz

Pertemuan diantara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Nik Aziz Nik Mat di Istana Terengganu Disember lalu berakhir apabila mereka mula menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam, lapor The Malaysian Insider.

Kes pertikaian mengenai penggunaan kalimah 'Allah' kini berada di peringkat rayuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi akhir Disember 2009.

Difahamkan seorang pemimpin Umno pada pertemuan itu bercakap mengenai keperluan perpaduan orang Melayu memandangkan bukan Melayu mengambil kesempatan dengan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan membuat pelbagai permintaan termasuk menuntut penggunaan kalimah “Allah” — merujuk kepada langkah Gereja Katolik yang mahu menggunakan perkataan itu dalam akhbar versi Bahasa Malaysia mereka.

Bagaimanapun difahamkan bahawa pada peringkat itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah dengan menyebut bahawa ayahanda Nabi Muhammad s.a.w., Abdullah juga pernah menggunakan kalimah “Allah” walaupun dia merupakan bukan Islam.

“Kemudian perbincangan mereka berakhir apabila Agong meminta diri dan Nik Aziz juga meminta diri (keluar daripada perbincangan), dengan mengatakan sakit belakang,” kata satu sumber.

Nik Aziz ketika itu baru keluar daripada hospital selepas menerima rawatan.

Semalam Nik Aziz enggan mengumumkan butiran perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut dengan berkata, beliau menghadiri pertemuan di Istana Terengganu di sini atas undangan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan dengan isu politik.

Kata beliau, pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Abdullah ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.

“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku,” katanya.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang akhbar yang turut dihadiri Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

“Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu,” katanya.

Pada Isnin lalu, dilaporkan bahawa Nik Aziz menghadiri majlis santapan yang diadakan oleh Yang di-Pertuan Agong bersama Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu dilihat satu lagi usaha untuk menghidupkan semula perundingan kerjasama politik antara Umno atas nama perpaduan orang Melayu-Islam yang banyak dibangkitkan oleh sejak dua tahun lalu kebelakangan ini.

Malah, pertemuan itu diadakan seminggu selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember.

Difahamkan juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Baru pagi ini untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai ‘perundingan perpaduan’ itu, yang pertama kali diadakan sejurus selepas tsunami politik Mac 2008 ketika kepimpinan kerajaan pusat berada di bawah Abdullah.

Semalam, Nik Aziz juga meminta orang ramai menghentikan spekulasi mengenai pertemuan terbaru ini.

-/ The Malaysian Insider

0 Komen pengunjong :