Tidak Iktiraf 1Malaysia Kerana Pesong Fikiran Rakyat




SHAH ALAM 24 DIS: Pakatan Rakyat Selangor tidak akan mengiktiraf slogan yang semata-mata mahu memesongkan fikiran rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di dalam negeri ini, kata Faekah Husin.

Menurut Setiausaha Politik  Menteri Besar Selangor itu juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memutarbelit fakta dan mengelirukan rakyat berkenaan dasar kerajaan negeri Selangor terhadap penggunaan slogan 1Malaysia. 

"Timbalan Perdana Menteri  ( TPM ) sekali lagi tersilap faham. Pakatan Rakyat Selangor bukannya takut malah muak dengan slogan hipokrasi Barisan Nasional. Mana mungkin kita berasa takut pada logo politik yang diciplak dan bukan diilhamkan oleh rakyat negara ini. Apatah lagi pemimpin BN gagal memberi rakyat hujahan kukuh tentang kewujudan slogan 1Israel, 1Singapore dan 1Indonesia," kenyataan itu dipetik.

Tambah kenyataan itu, kerajaan PR Selangor mengarahkan supaya slogan dan logo politik tidak dibenarkan di premis kerajaan dan premis awam. Kerajaan Negeri juga tidak akan mengeluarkan dana bagi membiayai program yang berkaitan dengannya. Manakala Pihak Berkuasa Tempatan diberi kuasa melihat perincian selari dengan Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) yang telah diamalkan sebelum ini.

"Slogan 1Malaysia merupakan satu slogan politik Barisan Nasional yang saya berpendapat mana-mana ahli politik yang waras akan menyetujui bahawa ia tidak harus disokong oleh badan-badan kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Bukan sahaja ini adalah keputusan politik, namun ini adalah keputusan yang perlu melihat situasi politik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri," katanya lagi.

Sambil menambah PR Selangor tidak mengharapkan Kerajaan Persekutuan membantu menyebarkan maklumat mengenai program-program anjuran kerajaan negeri seperti Program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Dalam kenyataan itu juga Faekah menyeru rakyat di Selangor perlu faham slogan 1Malaysia telah menghukum tanpa bicara Ketua Pembangkang dan tiga yang lain digantung dari Parlimen selama 6 bulan.

Faekah juga mengatakan Umno kini terdesak dengan tekanan penolakan terhadap politik perkauman, cuba menjadikan 1Malaysia sebagai sandaran mendapat sokongan. Hujah kononnya 1Malaysia menyokong semangat muhibbah begitu rapuh dan dangkal sekali.

Pentadbiran Umno-BN pula bertanggungjawab penuh atas ketegangan kaum yang wujud di Malaysia walaupun telah merdeka 53 tahun.

Dua pimpinan tertinggi Umno juga keliru dengan pendekatan yang terbaik. Perdana Menteri memperkenalkan 1Malaysia manakala Timbalan Perdana Menteri tanpa segan mencabulinya  dengan memperjuangkan 'Melayu Dahulu'.

"Terpulang kepada Dato Seri Muhyidin jika mahu memikirkan bahawa PR Selangor takut dengan slogan tersebut. Namun, tidak keterlaluan jika saya katakan slogan ini adalah topeng untuk mengaburi penyelewengan dan pemecah-belahan negara yang berterusan," katanya.

0 Komen pengunjong :