Konvensyen PR Ke-2 : Perkukuh Muafakat Bersiap Hadapi PRU-13


KEPALA BATAS 19 DIS : Pakatan Rakyat yakin menjelang konvensyen ke-3 Pakatan Rakyat tahun depan, mereka sudah mentadbir Putrajaya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Keyakinan ini dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang diberikan mandat untuk memberikan ucapan pertama di konvensyen kedua Pakatan Rakyat hari ini.
Ucapan yang penuh semangat itu juga berjaya mendapat tepukan gemuruh apabila beliau mengajak kesemua mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13.
"Masa sudah bercakap sudah habis, sekarang mari kita bekerja," tegas Lim. 
Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pendekatan bertahan perlulah diubah, dengan Pakatan Rakyat sendiri menentukan agenda bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh.
"Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita, katanya.
Hadi Awang juga menyatakan PR komited  mempertahankan empat buah kerajaan negeri dan mencabar Umno-Bn berani turun ke gelanggang tanpa memperkudakan agensi kerajaan dalam PRU-13 ini.
"Kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, InsyaAllah. 
"Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak, katanya.

0 Komen pengunjong :