KUALA LUMPUR, 19 Dis — Pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pagi ini bertekad untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil tahun depan, dengan berteraskan slogan “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia” yang dibentangkan pada konvensyen kedua mereka. Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
menegaskan, dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah PR secara bersama adalah penting juga untuk parti komponen berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya setiap parti menguruskan sensitiviti masyarakat — tanpa perlu menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini.
“Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita,” kata beliau dalam ucapan pembukaannya pada Konvensyen PR Kedua di sini hari.
PR mengadakan konvensyen keduanya di sini, kira-kira dua minggu selepas konvensyen Barisan Nasional (BN) di ibu negara, di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan.
Konvensyen pertama diadakan di Shah Alam tahun lalu. Turut menyampaikan ucapan pembukaan ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia” juga menjadi tema konvensyen kali ini yang dihadiri 1,800 perwakilan. Kata Hadi, kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada Umno dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka.
“Kita akan berada dalam keadaan yang sangat defensif untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, pendekatan tersebut perlu diubah dengan sendiri menentukan agenda PR bersama rakyat.
“Dan, bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerak kerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat.
“Gerak kerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita,” kata beliau lagi.
Hadi menambah, PAS menyatakan bahawa dasar yang ingin PR melaksanakan di negeri-negeri diterajui mereka perlu bertitik tolak daripada pemahaman bahawa pihaknya membaiki kerosakan yang ada dalam negara dan ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya.
“Semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu kata Hadi, pihaknya tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh — Umno-BN — akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah PR yang telah sama-sama dibina.
“Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh BN,” kata beliau lagi.
“Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini,” katanya.
Kata Hadi, PR perlu juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan mereka.
“Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ia mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain.
“Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini,” katanya.
Hadi juga menjelaskan, belum pun PR sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk berdepan dengan pilihan raya umum ke-13 detiknya semakin hampir.
“Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.
“Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insya-Allah,” kata Hadi lagi.
Sehubungan itu Hadi juga mencabar BN berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihan raya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat.
“Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak,” katanya.
Dalam pada itu Dr Wan Azizah berkata, PKR secara konsisten akan terus mewacanakan konsep Ketuanan Rakyat dan bangsa yang bermaruah dalam setiap agenda pemerkasaan rakyat kerana “kita yakin bahawa tidak akan wujud reformasi ekonomi jika tidak ada reformasi politik.”
“Malaysia memerlukan reformasi politik dan Pakatan Rakyat telah lama memperjuangkannya kerana kita peka bahawa tanpa iltizam dan keikhlasan, gagasan ‘transformasi’ yang diciplak oleh pemerintah Umno-BN dari kita ini hanya menjadikan situasi politik Malaysia lebih teruk dan merosot,” katanya.
Kata Dr Wan Azizah, reformasi yang PR bahawa bermaksud “mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik.”
“Transformasi pula maknanya tukar sahaja seperti dalam filem ‘Transformers’ yang mana robot-robot boleh bertukar menjadi kereta, lori dan kapal terbang dan kemudiannya kembali bertukar menjadi robot semula.
“Maknaya tidak ada apa-apa yang berubah. Sekadar bertukar tanpa mengambil kira hasil akhir.
“Dari era Mahathir, ke era Pak Lah, ke era Najib — segalanya tentang transformasi; Mahathir dengan Wawasan 2020, Pak Lah dengan Islam Hadhari dan kini Najib dengan 1 Malaysia, itu pun atas tunjuk ajar dari APCO yang menelan jutaan wang rakyat. Inilah dia erti sebenar transformasi yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Umno-BN,” kata Dr Wan Azizah.
Kata beliau, Malaysia perlu diubah sekarang kerana perjalanan dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran Umno-BN kini semakin kabur dan tidak menentu.
“Seandainya perubahan tidak dilaksanakan sekarang, segala kerosakan dan kebobrokan hasil kepincangan pentadbiran Umno-BN akan berterusan tanpa penghujung.
“Negara ini akan terus dirundung malap dan tak mustahil akan menemui masa depan yang gelap,” katanya.
Kata Dr Wan Azizah lagi, harapan dan kepercayaan rakyat untuk melihat Malaysia kembali di landasan yang betul, yang berteraskan prinsip keadilan dan muafakat sesama kaum perlu dikembalikan segera.
“Perubahan harus bermula sekarang kerana hala tuju negara ini telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya.
“Kesukaran hidup rakyat telah sampai ke peringkat yang memuncak, di kala haluan ekonomi negara juga semakin malap,” katanya.
0 Komen pengunjong :