KUALA LUMPUR, 29 Dis: Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilihat seperti cubaan untuk mengguling kerajaan negeri Selangor, di samping memperlihatkan sikap sebenar kerajaan persekutuan yang tidak demokratik serta tidak menghormati semangat federalisme.
Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mohon mengadap Sultan Selangor untuk membincangkan perkara itu, pandangan kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak seideologi dengan kerajaan pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya.
Menurut beliau, sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri yang lain tidak diganggu apa lagi cuba diguling semata-mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan.
"Gangguan dan tekanan yang sering dikenakan kepada kerajaan-kerajaan negeri seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sangat bertentangan dengan semangat federalisme dan ia jelas pula bertentangan dengan prinsip demokrasi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan 27 Disember lalu bahawa Khusrin, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai SUK negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2011.
Sementara itu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan terbaru mereka memberitahu perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu belum muktamad.
Mereka mendakwa cadangan melantik Khusrin ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sehubungan itu, Menteri Besar menurut kenyataan itu telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklumkan bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.
Tan Sri Khalid juga difahamkan turut menghantar tiga nama yang telah diputuskan oleh panel yang ditubuhkan kerajaan negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap Sultan Selangor pada 29 Disember ini.
Menurut Nasrudin, pengumuman Ketua Setiausaha Negara dalam isu perlantikan Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor tanpa terlebih dahulu mengambil kira pandangan dan kehendak kerajaan negeri adalah suatu yang tidak harmonis dan sewajarnya tidak berlaku demikian.
"Justeru apa yang berlaku ini boleh mencetus spekulasi dan ia dinilai oleh umum sebagai satu "hidden agenda" untuk melemah dan menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Selangor," katanya.
Jawatan SUK, menurutnya, jawatan nombor satu dalam perkhidmatan awam di sesebuah negeri. SUK juga secara automatik menjadi ahli ex officio kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Oleh itu, SUK yang dilantik sayugianya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri terutama ketua kerajaannya iaitu Menteri Besar agar pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri berjalan lancar dan efektif.
"Namun realiti yang berlaku di Selangor, Khusrin adalah individu yang sering mencetus kontroversi dan mengganggu kestabilan kerajaan negeri. Apakah kerana tersimpan agenda tertentu apabila Putrajaya dilihat beria-ia benar menabalkan Khusrin sebagai SUK Selangor?
"Sungguhpun SUK Selangor adalah terdiri dari pegawai PTD yang juga merupakan kakitangan Persekutuan, tetapi tidak bolehkah kerajaan negeri terlebih dahulu dirundingi? ke mana perginya semangat federalisme yang didokong selama ini? Apakah kerana Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat maka demokrasi diketepikan dan semangat federalisme dikesampingkan?
"Saya sangat tidak senang malah tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Tidak profesional, tidak demokratik dan tidak menghormati semangat federalisme. Ia dilihat seperti cubaan untuk membuli kerajaan negeri Selangor. Ini tindakan yang tidak baik," jelasnya.
Beliau berharap rundingan Menteri Besar dengan pihak Sultan Selangor akan membawa keputusan yang positif demi kestabilan kerajaan negeri, malah demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor amnya.
"Justeru konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini membina hubungan yang baik antara Menteri Besar dan Duli Yang Maha Mulia Sultan sementara tindakan Sultan pula berasaskan nasihat dari Menteri Besar," katanya.
0 Komen pengunjong :