KUALA LUMPUR, 29 Dis: Umno hendaklah menghentikan serta-merta tindakannya memperdayakan Raja-Raja Melayu bagi kepentingan kuasanya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Umno kini dilaporkan begitu bernafsu menghasut Raja-Raja Melayu kononnya kuasa Raja-Raja terancam setelah mereka merasa berjaya menipu rakyat termasuk sebahagian ahli politik kononnya kuasa dan kepentingan Melayu akan terancam tanpa parti perasuah itu.
"Kita sentiasa mendapat laporan dari sumber dalaman yang tidak senang dengan tindak-tanduk Umno cuba memperdayakan Raja-Raja Melayu itu. Tidak semua boleh menerima apa yang dilakukan oleh Umno itu," katanya.
Malah, katanya lagi, semakin ramai orang-orang Melayu yang berfikiran waras yang sedar bahawa yang sebenarnya terancam ialah Umno dan bukan orang-orang Melayu.
"Orang-orang Melayu tidak akan terancam selagi mereka memperjuangkan perintah Allah dan tidak membiarkan diri mereka diperdayakan oleh Umno yang terang-terangan menghina hukum Allah," tegas beliau.
Mahfuz menggesa orang-orang Melayu menyedari tabiat jahat Umno dan segera menghukum parti itu.
"Ketika mereka kuat dan mendapat kemenangan besar dalamn pilihan raya, mereka menelanjangkan Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku ketika Perlembagaan dipinda untuk mengurangkan imuniti Raja-Raja dahulu.
"Hari ini, apabila kuasa mereka terancam, parti yang busuk hingga ke usus itu menghasut dan memperdayakan Raja-Raja Melayu supaya mempertahankan kuasa mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau berharap Raja-Raja Melayu tidak lupa bahawa perlembagaan negara sudah mencukupi untuk menjamin sistem raja berperlembagaan.
"Sistem yang terpakai dalam negara ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan tidak memerlukan Umno sama sekali untuk mempertahankannya.
"Malah, (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri menyatakan dalam perhimpunan Umno yang lalu bahawa hak Melayu terkunci kemas dalam perlembagaan tanpa dapat digugat lagi.
"Oleh sebab itulah, Umno yang menggelupur kerana takut kehilangan kuasa sebenarnya tidak relevan dan tidak diperlukan sama sekali," tegas beliau.
Mahfuz menegaskan, pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.
Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan kepada seluruh rakyat bahawa Umno sering dibuktikan menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga kepentingannya.
"Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).
"Bukan setakat mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk Najib malah melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya.
Mahfuz berkata, antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab Melayu semakin pupus.
"Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut.
"Bohong sama sekali dakwaan kononnya Umno membela kepentingan Melayu. Umnolah yang memusnahkan kepentingan Melayu," katanya.
Antara kemuncak pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu, kata beliau lagi, ialah apabila kerajaan Najib kini mengambil firma Yahudi Zionis, Apco Worldwide, sebagai penasihat dan pemberi petunjuk kepadanya.
0 Komen pengunjong :