MP Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang menerima rawatan kerana kanser di Hospital Selayang  meninggal dunia malam ini.
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Ya, saya pun baru dimaklumkan mengenai berita ini. Tapi saya belum ada butiran lanjut,” kata seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.
Wakil rakyat penggal pertama itu meninggal dunia kira-kira 10.13 malam tadi, kata seorang anggota keluarga menerusi mesej SMS.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata anggota keluarga itu.
“Jenazah akan diuruskan pagi esok, akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat,” katanya.
Maklumat daripada ibu pejabat PAS menyebut jenazah akan diuruskan sekitar 8 pagi esok.
Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Dr Lo’ Lo’ yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat telah meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS dan laman sosial Facebook dan Twitter.
Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang secara kebetulan mengadakan mesyuarat di Ampang pagi tadi.
Dr Lo’ Lo’, 53, dirawat di Hospital Selayang akibat kanser.
Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.
Allahyarham Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Sebelum ini PAS kehilangan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan disusuli Adun Permatang Pasir, Manek Urai dan Galas.
Kekosongan kali ini tidak akan membawa kepada pilihan raya kecil.

3 comments :

  1. Innalillahiwainna ilaihirrajiuun! Alfatihah...

    ReplyDelete
  2. @mountdweller..... sama-samalah kita sedekah alfatihah untuknya

    ReplyDelete
  3. INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAA JI I'IN
    Ucapan takziah buat semua ahli keluarga Allahyarhamah dan semua pengundi beliau. Marilah kita sama berdoa semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan Siddiqin dan para syuhada.
    Juga marilah kita berdoa semoga Allah mengadakan ganti bagi serikandi pejuang ini untuk terus membela agama,rakyat dan watan.

    ReplyDelete