Badan bukan kerajaan (NGO) itu mendedahkan sehingga hujung tahun ini, seramai 25 orang masih berada dalam tahanan di Kamunting dan berkemungkinan lebih daripada jumlah tersebut, tidak termasuk mereka yang mungkin ditahan dibawah Seksyen 73 ISA.
"Baru-baru ini Kem Tahanan Kamunting sudah diubah suai dan penambahan dua blok bangunan yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 20 lagi tahanan baru.
"Ini bermakna kerajaan tidak ada niat untuk mansuhkan ISA malah dilihat semakin rakus menyekat kebebasan rakyat melalui ISA," kata ahli Majlis Peguam Malaysia Syamsuriatina Ishak semasa sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) di sini.
Bersempena 50 tahun penubuhan ISA di negara ini juga, GMI turut mengemukakan sembilan tuntutan kepada kerajaan bagi mendesak agar akta ‘zalim’ itu dihapuskan.
Siasat semua aduan
Antaranya, kerajaan perlu menyiasat semua aduan dan kes penganiayaan, penyeksaan, tindakan tidak berperikemanusiaan serta salah guna kuasa terhadap tahanan.
GMI turut mendesak agar laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dibahaskan di Parlimen dan melaksanakan syor yang dikemukakan.
"Laporan tahunan SUHAKAM sudah dikeluarkan pada bulan lalu namun malangnya ia dipandang sepi dan tiada tindakan susulan dibuat terhadap laporan itu," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.
Selain itu, GMI turut mengemukakan undang-undang alternatif yang terdapat dalam Kanun Keseksaan untuk tuduhan jenayah digantikan dengan ISA, antaranya Seksyen 489B bagi kesalahan pemalsuan duit, Seksyen 298A (menyebarkan isu atau khabar angin yang melibatkan agama).
Turut dikemukakan Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menyebarkan maklumat palsu, Seksyen 56 Akta Imigresen bagi pemalsuan pasport, dan Chapter VIA Kanun Keseksaan yang berkaitan isu pengganas.
Bekas tahanan diberi pampasan
"Kem tahanan di Simpang Renggam juga perlu segera ditutup dan setiap tahanan harus diberikan pampasan oleh kerajaan Malaysia akibat merampas kebebasan dan hak tahanan yang tidak pernah dibicarakan oleh mana-mana mahkamah," katanya.
Dalam sidang media itu juga, seorang isteri tahanan ISA Khairuniza Mohd Akhir berkata, suaminya kini mengalami ‘penderaan emosi’ setelah empat bulan menjadi tahanan ISA sejak Ogos lalu.
Menceritakan pengalaman semasa suaminya ditangkap, Khairuniza, 34, mendakwa kira-kira 100 anggota polis melakukan serbuan ke rumahnya di Ampang bersama trak dan kereta polis mengepung serta menggeledah rumahnya di Ampang.
"Polis memaklumkan suami saya ditahan ISA kerana mengirim wang RM400 buat keluarga yang berada di Acheh, Indonesia dan polis mendakwa wang itu disyaki digunakan suami saya untuk menyalurkan dana bagi kumpulan pengganas membeli senjata.
"Sehingga kini saya mengalami tekanan emosi apabila polis memberi amaran kepada suami supaya saya ‘tutup mulut’ dan tidak pergi mendapatkan bantuan NGO termasuk GMI atau khidmat peguam bagi mendapat keadilan terhadap suami saya," katanya.
-/FMT
0 Komen pengunjong :