SHAH ALAM 19 November: Sebarang bentuk penyelewengan dan penipuan
tidak perlu dirahsia serta wajar didedah dan tindakan dikenakan ke atas
yang didakwa hendaklah tidak bersifat selektif, kata Sivarasa Rasiah.
Demikian hujah peguam kepada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
itu pada pendengaran permohonan anak guamnya untuk membatalkan tuduhan
di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia) di Mahkamah
Tinggi Jenayah Shah Alam, petang tadi.
“Mengikut
prinsip undang-undang England, apabila seseorang melakukan penipuan,
apatah lagi dengan dana awam, individu itu kehilangan haknya untuk
kerahsiaan,” katanya merujuk tiada tindakan dikenakan terhadap Pengerusi
Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr Mohamad Salleh
Ismail.
Mohamad Salleh sebelum ini didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
Beliau merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.
Pada 30 Disember lalu, pihak berkuasa mendakwa pemberi maklumat dalam
kes NFC, Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan menipu Mohamad Salleh
sebanyak RM1.755 juta.
Shamsubahrin turut pernah direman dan diarah melaporkan kepada pihak
berkuasa kerana mendedahkan skandal yang melibatkan Umno BN.
Keadilan Daily sebelum ini melaporkan, tuduhan ke atas
Shamsubahrin adalah taktik Umno bagi menjadikan ahli perniagaan itu
‘kambing hitam’ dalam skandal tersebut, sekaligus melindungi suami bekas
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Jalil itu.
Tegas Sivarasa, pemberi maklumat yang mendedahkan penyelewengan tidak wajar dihukum.
“Ia juga menunjukkan moral yang baik kepada rakyat untuk berani tampil mendedahkan kebenaran,” hujah Ahli Parlimen Subang itu.
Permohonan menggugurkan tuduhan tersebut dibuat kerana bukti-bukti
pertuduhan terhadap Rafizi berniat jahat dan terpilih bertujuan menutup
pendedahan butiran perbankan skandal NFC.
Ia difailkan peguam N Surendran di Mahkamah Tinggi Shah Alam, September lalu.
Peguam turut mewakili Rafizi adalah Latheefa Koya dan Eric Paulsen.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ketika membalas hujah
kembali mempertahankan Mohamad Salleh dan bertegas jika dedah maklumat
bank, individu itu dikira bersalah.
Mengulas perkara itu, Rafizi mempersoal mengapa beliau sahaja yang
didakwa di bawah Bafia, sedangkan ia patut digunapakai kepada semua
bentuk kesalahan.
“DPP nampaknya terlepas pandang hujah Sivarasa bahawa ada ratusan
aduan pelanggaran Bafia, tetapi kenapa hanya saya yang didakwa?
Selektif!” tempelaknya.
“Asas permohonan ini adalah kerana ada banyak lagi kes yang
melibatkan pendedahan dokumen, tapi kenapa saya seorang saja (didakwa),
hanya kerana dedahkan kes NFC, ini pendakwaan terpilih,” tegas Rafizi
lagi.
Menurutnya, beberapa kumpulan orang awam telah memfailkan kes
terhadap Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kerana bersikap
tidak adil.
“Ada banyak kes kebocoran maklumat, dan penipuan dokumen melibatkan
institusi bank, laporan dibuat namun tiada tindakan di bawah Bafia, oleh
itu orang ramai pun dakwa Bank Negara,” jelasnya.
Rafizi pada 1 Ogos lalu ditahan di bawah akta Bafia dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Beliau sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya
mendedahkan butiran penyelewengan perbankan NFC dan ahli pengarahnya, 16
Februari lalu.
NFC dikendalikan suami dan anak kepada Shahrizat.
Jika disabit kesalahan, Rafizi boleh didenda RM3 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan yang sama turut dikenakan terhadap pemberi maklumat
skandal NFC kepada Rafizi, Johari Muhamad yang merupakan bekas kerani
Public Bank.
Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan keputusan permohonan itu Jumaat ini.
0 Komen pengunjong :