KUALA LUMPUR 2 NOV : Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar hari ini mendesak kerajaan Pusat menghapuskan saman ekor yang direkodkan bagi memutihkan semua nama pemilik kenderaan sama ada individu, syarikat atau pertubuhan.
Beliau dalam sidang media di lobi Parlimen pagi tadi berkata keseluruhan jumlah saman ekor yang direkodkan itu berjumlah RM1.8 bilion.
"Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 yang baru dibentangkan telah memasukkan dan memperkenalkan beberapa peruntukkan baru yang jelas menunjukkan bahawa tindakan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini tidak wajar dan menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kase telah menyemak dan meneliti Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 dan mendapati pindaan yang dicadangkan dengan jelas membuktikan desakan Kase adalah benar dan berasas.
Katanya lagi, pembentangan Rang Undang-Undang ini jelas menunjukkan tindakan PDRM mengeluarkan saman ekor selama ini adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
"Malahan tindakan JPJ menyenarai hitam pemilik kenderaan kerana dikatakan mempunyai saman ekor tertunggak juga menyalahi undang-undang dan peraturan yang terpakai," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
"Pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 2010 telah memasukkan peruntukan iaitu takrif imej yang dirakamkan, takrif kesalahan berjadual dan takrif kesalahan yang dirakamkan melalui kamera.
"Kemasukkan takrifan baru ini menunjukkan tindakan PDRM sebelum ini menggunakan alat pengesan had laju dan mengeluarkan saman ekor berdasarkan bukti alat pengesan adalah tidak sah.
"Imej yang dirakamkan yang digunakan selama ini sebenarnya tidak boleh diguna pakai bagi membuktikan kesalahan yang dilakukan," tegas Mahfuz.
Tambah beliau, Rang Undang-Undang tersebut turut memperkenalkan kesalahan yang dirakamkan melalui kamera yang memperuntukkan tiga jenis kesalahan iaitu memandu kenderaan lain selain bas di lorong bas, memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan tidak mematuhi lampu isyarat.
"Jika kesalahan ini hanya baru dimasukkan ke dalam pindaan Rang Undang-Undang yang dicadangkan, bagaimana PDRM boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan saman ekor kepada pengguna jalan raya yang disyaki melakukan kesalahan tersebut.
"Sepatutnya, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebih had laju disaman secara kendiri iaitu melalui seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bukannya melalui saman ekor," katanya.
0 Komen pengunjong :