Budaya Politik Zaid Hanya Pentingkan Peribadi Bukan Perjuangan

AAB

SHAH ALAM 16 Nov - Tindakan bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) disifatkan sebagai kesinambungan corak permainan politiknya yang menjadi amalannya bermula sejak lebih 20 tahun dahulu.

Mengulas langkah Zaid itu, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata tindakan beliau  bukan sesuatu yang memeranjatkan malah sudah dijangka daripada awal lagi.

"Kalau kita tengok sejarah Zaid, beliau memang suka menubuhkan kumpulan seperti ini daripada zaman krisis kehakiman di mana beliau menubuhkan Persatuan Peguam Muslim untuk menyokong pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

"Selepas itu apabila beliau dapat imbuhan lain, beliau tinggalkan 'perjuangan'nya. Kemudiannya beliau masuk Umno, tidak lama selepas itu dia dipecat kerana politik wang.

"Kemudian itu pula beliau kata disebabkan tidak suka kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan  melihat mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal tenggelam, Zaid kemudiannya letak jawatan dan akhirnya umum masuk PKR.

"Apabila dalam PKR beliau tuduh pula kononnya orang PKR tidak suka kepadanya, maka dia umum keluar parti, nak tubuh parti baru pula," jelas Dr Abdul Aziz.

Beliau berkata dari segi implikasi kepada Pakatan Rakyat, ianya akan hanya memberikan talian hayat kepada Umno-Barisan Nasional.

"Cuma dari segi berkesan atau tidak, kita harus tengok dulu bagaimana, mungkin ia hanya memberikan keyakinan
kepada  penyokong Umno-BN dan bagi mereka yang mungkin keliru dan tidak faham.

"Bagi yang masih komited dengan cita-cita dan pembaharuan reformasi, saya fikir tidak ada kesan malah membersihkan gerakan reformasi daripada mereka yang menjadi musuh dalam selimut.

"Sejarah PKR atau di mana-mana negara sekali pun, pemimpin yang macam ini hanya mempunyai daya tarikan yang sekejap sahaja atas gelagat 'maverick'nya tapi dalam jangka panjang, saya tidak nampak macam mana beliau boleh teruskan gaya politik seperti ini.

"Perjuangan memerlukan stamina dan tindakan beliau menunjukkan beliau tidak sabar. Jadi, sesiapa pun kalau tidak sabar, dia tidak akan berjaya," ujar beliau.

0 Komen pengunjong :