Alasan Detektif Bebas, P Balasubramaniam Bersembunyi Tidak Masuk Akal

AltantunyaNajibSHAH ALAM 5 Nov - Penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pihak berkuasa menutup kes terhadap detektif bebas P Balasubramaniam yang didakwa memberikan kenyataan palsu dalam dua akuan sumpahnya (SD) disebabkan masih lagi bersembunyi di luar negara tidak masuk akal.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata alasan yang diberikan terlalu remeh kerana Balasubramaniam telah bersetuju bekerjasama memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syarat keterangan dibuat di tempat yang bebas tidak ditunaikan oleh kerajaan.

"Balasubramaniam melahirkan kekhuatirannya kerana kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantunya Shaariibuu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya.

"Alasan yang diberikan juga munasabah kerana  beliau melahirkan kebimbangan mengenai keselamatannya terutamanya apabila kenyataan tersebut diambil di Malaysia yang terikat dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Apa yang saya lihat, usaha pihak tertentu mencari alasan seolah-olah kes ini telah dirancang daripada awal untuk ditutup.

"Dari sudut undang-undang sedia ada, kita lihat ia sudah memadai bagi pihak polis mengambil tindakan undang-undang berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Balasubramaniam melalui laman web dan media alternatif," kata beliau.

Tambahnya, kenyataan Nazri juga bercanggah dengan prinsip dan undang-undang yang menjadi amalan di negara ini kerana SD yang dibuat adalah di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

Mereka yang disabit melakukan kesalahan itu berdepan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda.

Nazri di dalam  jawapan bertulis kepada soalan yang dibangkitkan tersebut  menyatakan walaupun ada percanggahan antara dua SD Balasubramaniam, ianya tidak sama sekali menjejaskan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

0 Komen pengunjong :