Usah jadikan gaji minimum dalih politik BN dan kecewakan pekerja, kata kesatuan


KUALA LUMPUR, 14 Okt — Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja tidak pasti sama ada minat secara tiba-tiba yang diperlihatkan oleh Barisan Nasional (BN) sebenarnya satu dalih dalam usaha mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya umum tergempar yang menjadi spekulasi sekarang. Pentadbiran Najib akan membincangkan dasar gaji minimum pada mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat ini.
Rang undang-undang berkaitan akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac depan walaupun sebelum ini disebutkan bahawa ia akan dibawa pada persidangan semasa.
Dasar itu jika dilaksanakan dipercayai akan memanfaatkan kira-kira lima juta pekerja, dilihat sebagai usaha BN untuk mendapatkan semula sokongan majoriti yang ia kehilangan pada pilihan raya umum 2008.
BN dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menganjurkan forum sehari semalam meskipun lebih 400 pemimpin kesatuan dan aktivis kelihatan kecewa dengan hujah-hujah yang lebih bersifat retorik.
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia membantah dasar gaji minimum.
Pemimpin MTUC, A. Sivanandan memberitahu The Malaysian Insider berkata, beliau berharap kerjasama antara BN dan MTUC tidak bermotifkan politik semata-mata dengan hanya memanfaatkan beberapa individu.
“Saya berharap forum ini tidak menjadi agenda politik bagi sesetengah individu.
“Saya berharap semua bersikap ikhlas dalam mengangkat kehendak pekerja kerana gaji minimum sudah lama tertangguh... ini perlu dilaksanakan dengan segera,” kata beliau.
“Kita bercakap isu ini sejak lebih 60 tahun lalu dan tiada apa-apa yang menjadi kenyataan. Cukuplah apa yang telah dilalui selama ini,” kata setiausaha agung Kesatuan Pekerja-pekerja Tekstil Selangor ini.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak harus mempolitikkan gaji minimum sebab ia menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakannya.
“Saya berharap ini bukan agenda politik untuk tujuan akhir mereka. Kredit tidak harus pergi ke BN, tetapi para pekerja khususnya MTUC yang telah lama berjuang mendapatkan gaji minimum.
“Jangan mempolitikkan isu ini, ia menjadi tanggungjawab mereka (untuk melaksanakan),” kata Sivanandan.
Dalam pada itu, Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud menambah, kerajaan harus mengakhiri retorik atau ia akan kehilangan sokongan kesatuan-kesatuan sekerja.
“Apa yang menjadi perhatian kami ialah sejauh mana seriusnya kerajaan dalam gaji minimum,” kata beliau.
Kata beliau, pihaknya tidak mahu lagi retorik, sebaliknya mahu kerajaan melaksanakan undang-undang gaji minimum.
“Yang penting ialah apakah kadarnya,” kata beliau.
“Saya tidak pasti sama ada ini adalah langkah ke arah pilihan raya tetapi isu ini sesuatu yang dekat dengan (hati) pekerja dan kita tahu bahawa mereka memerlukan sokongan daripada semua parti khususnya pekerja-pekerja,” kata Syed Shahir yang juga seorang pemimpin parti politik.
Rosli Majid mempersoalkan sama ada tindakan BN ini hanya satu gimik politik untuk mendapatkan sokongan popular.
“Kami bercakap mengenai gaji minimum sejak 1930-an, tetapi kami ragu-ragu kerana sudah pasti ada sebab tertentu kerana pilihan raya umum semakin dekat.
“Kami bimbang ini hanya agenda tersembunyi parti politik (BN) dan kerajaan untuk membawa isu demi imej mereka dan untuk mendapatkan sokongan para pekerja,” kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Junior TNB.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Kebangsaan Bank, J. Solomon menambah, BN akan berhadapan dengan laluan sukar jika BN tidak memenuhi janji melaksanakan dasar ini.
“Jika mereka melengah-lengahkan, maka rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk memutuskan bahawa perkara ini bermotifkan politik dan mereka tidak berminat dalam isu ini.
“Saya merasakan perdana menteri dan jenteranya perlu membuktikan yang mereka ikhlas,” beliau.
Bagaimanapun anggota Jawatankuasa Wanita MTUC, Christine Chee menekankan, kesemua pihak perlu positif dan bekerja keras untuk melaksanakan gaji minimum.
“Apa jua keadaannya, kita perlu positif agar impian kita menjadi kenyataan,” katanya.
“Kita perlu mengetepikan rintihan ataupun apa juga tanggapan negatif,” kata beliau sambil menambah, kesemua pihak perlu bekerjasama dan berfikiran positif dan kami berharap ia akan menjadi kenyataan Mac 2011,” kata beliau.
Profesor Dr Durrishah Idrus dari UTM berkata, tidak terlalu lewat bagi kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum.
“Jika saya kerajaan, maka itu yang saya akan akan lakukan. Anda kerajaan, anda perlu melakukan sesuatu.
“Anda kena menerajui usaha ini. Jadi, saya tidak melihat apa-apa kekurangan dalam soal ini,” katanya lagi.
Katanya, kemungkinan sekarang adalah masa yang sesuai selepas lima dekad isu ini dibahaskan.
“Lebih baik (kita) ada (dasar ini) daripada tiada langsung,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata satu akta baru akan digubal bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1974 yang didapati kurang sesuai untuk diaplikasikan dalam menetapkan gaji minimum ketika ini.
Katanya, perincian asas berhubung penggubalan akta baru yang dijangka dibentangkan di Parlimen Mac tahun depan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
“Penetapan gaji minimum melalui akta sedia ada mengambil masa yang lama serta rumit malah ia juga tidak menyeluruh kerana pendekatannya adalah mengikut jenis pekerjaan dan subsektor tertentu.
“Dalam melaksanakan dasar gaji minimum kebangsaan, ia memerlukan penguatkuasaan undang-undang. Jadi, dicadangkan satu akta baru digubal bagi menggantikan akta sedia ada,” katanya selepas merasmikan Forum Gaji Minimum anjuran Pemuda BN bersama-sama dengan MTUC semalam.
Subramaniam berkata, kementerian itu juga sedang memperincikan sama ada untuk mengaplikasikan penetapan gaji minimum berdasarkan sektor, wilayah ataupun daripada segi kebangsaaan.
Katanya, jika dibuat daripada segi kebangsaan penetapan gaji minimum itu akan melibatkan semua sektor manakala dari sudut wilayah kadar penetapan gajinya mungkin berbeza mengikut tempat berpandukan kos kehidupan di kawasan berkenaan.
“Kalau kita memutuskan berdasarkan sektor, maka kita kena lihat semua sektor. Jadi, keputusan dari segi pelaksanaan dan caranya belum ditetapkan. Ini semua akan ditetapkan selepas membuat kajian lebih terperinci,” katanya.
Beliau berkata, dalam membuat keputusan itu kementerian juga perlu melihatnya daripada segi undang-undang antarabangsa kerana kerajaan tidak boleh mempunyai diskriminasi gaji antara pekerja tempatan dan asing.
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin pula berkata, forum tersebut bukan platform untuk menetapkan gaji minimum kerana pada dasarnya perkara itu telah dipersetujui oleh kerajaan tetapi lebih kepada perbincangan mengenai apa yang diharapkan pekerja dan majikan daripada kerajaan apabila dasar itu diputuskan kelak.
Katanya, forum itu lebih menumpukan kepada perincian dan perbincangan kepada persoalan bagaimana gaji minimum dilaksana sama ada secara umum atau berbeza mengikut sektor serta bagaimana ketetapan gaji dibuat dan tahap gaji minimum yang sesuai.
Forum sehari itu adalah lanjutan daripada sesi perbincangan bersama wakil daripada dua kesatuan sekerja iaitu MTUC dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada 24 Ogos lalu serta maklum balas yang diterima melalui makmal Pemuda BN.


Cetak Halaman Ini

1 comment :

  1. Kami di Sabah bekerja di bawah gaji minimum mengikut kelulusan tetapi harga tanah, kenderaan jauh lebih tinggi daripada di semenanjung. TV1,2,3 asyik paparkan kemiskinan di Selangor, tapi hakikatnya negeri termiskin kami.

    ReplyDelete