Zaid sokong Kelantan saman Petronas

KOTA BHARU, 26 Ogos: Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menyokong penuh langkah kerajaan negeri mengemukakan writ saman ke atas Petronas.
Menurutnya, langkah berkenaan begitu wajar memandangkan kerajaan negeri telah dinafikan haknya dalam royalti minyak dari Petronas sejak sekian lama.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung langkah yang diambil oleh kerajaan Kelantan semalam selepas Petronas tidak melangsaikan royalti kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Hari RayaYayasan Orang Kurang Upaya (Yokuk), di perkarangan pejabat berkenaan, dekat sini tengah hari tadi.
“Walaupun kita tidak tahu tindakan itu akan memihak kepada kita atau sebaliknya, namun sekurang-kurangnya Kelantan telah mengemukakan haknya.
“Pada masa yang sama, cara ini akan menyedarkan masyarakat berhubung apa yang berlaku,” ujarnya.
Tambahnya, mahkamah pula hak mereka, jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Zaid seterusnya memberitahu, begitu juga keputusan beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun sudah menduga kes saman itu tidak memihak kepadanya, namun sekurang-kurangnya rakyat tahu perkembangan itu.
“Kita berharap kerajaan Kelantan tidak mengalami nasib yang sama sebagaimana Terengganu di mana kes saman yang telah dikemukakan oleh kerajaan negeri itu ketika di bawah PAS lenyap hingga kini,” ujarnya.
Zaid seterusnya berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan Kelantan sekarang belum terlewat, malah langkah yang diambil begitu tepat.
“Kelantan tidak begitu tergopoh-gopoh dalam soal ini malah membuat kajian yang terperinci sebelum mengambil tindakan mahkamah.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di atas tindakan yang berani ini.

0 Komen pengunjong :