PERKASA beri amaran kepada Umno

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan apa sahaja yang boleh untuk menangani masalah orang Melayu, atau berdepan dengan risiko kehilangan sokongan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata jika ia tidak dilakukan, orang Melayu akan bertindak balas.
Katanya, mereka mungkin akan diam sekarang, tetapi mereka akan menunjukkan ketidaksenangan mereka itu dalam pilihan raya umum akan datang.

"Orang Melayu akan menolak Umno," kata Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir MAS dalam satu sidang akhbar di ibunegara.

Beliau memberi amaran Umno dan perdana menteri akan kehilangan undi orang Melayu sekiranya kerajaan terus tunduk kepada bukan Melayu dan membiarkan terhakisnya hak istimewa orang Melayu - yang menurutnya dilindungi dalam perlembagaan persekutuan.
Orang Melayu, kata Ibrahim, bimbang dengan pendekatan kerajaan untuk memacu ekonomi.

Dan menurutnya, menteri yang bertanggungjawab pula nampaknya
berminat untuk mengenepikan saki baki kekayaan orang Melayu dan bumiputera.

Ibrahim mengulas 12 resolusi kongres ekonomi MCA semalam, yang salah satu daripadanya menuntut pengurangan 30 peratus ekuiti bumiputera.
Sementara itu, Bernama melaporkan, PERKASA meminta kerajaan mengkaji semula cadangan menggunakan kaedah tender terbuka bagi penjualan tanah strategik dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ibrahim berkata, sekiranya kaedah itu diteruskan, ia boleh mengakibatkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang terkandung dalam agenda Model Baru Ekonomi (MEB) tidak akan tercapai.

Ibrahim menggesa Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Uda Holding Sdn Bhd mengambil kira kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dalam memajukan tanah strategik terutama di sekitar Kuala Lumpur seperti kawasan "segitiga emas", sekitar KLCC, Langgak Golf, Stadium Negara, Stadium Merdeka serta tapak Penjara Pudu.

Kerajaan juga digesa memastikan orang Melayu mendapat manfaat daripada pembangunan di kawasan Sungai Buloh, Sungai Besi dan 118 projek lain.

Beliau juga berkata Sekretariat Majlis Perunding Melayu perlu mengadakan persidangan meja bulat tergempar pada 29 Ogos ini bagi membincangkan agenda ekonomi Bumiputera serta kepentingan negara berkaitan tuntutan 12 perkara oleh Kongres Ekonomi Cina Malaysia semalam.

Ibrahim berkata Perkasa mengecam tuntutan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berterima kasih kepada kaum Melayu dan Bumiputera yang selama ini bertolak ansur terhadap tuntutan Perlembagaan Negara.

"Ia amat melampau dan dilihat sebagai begitu tamak kerana sasaran 30 peratus yang diminta oleh kaum Bumiputera mewakili 67 peratus majoriti rakyat di negara ini, itu yang mereka tolak, selain meminta supaya dilantik wakil-wakil bukan Melayu dalam GLC.

"Mereka menuntut perkara-perkara yang saya anggap sensitif kepada orang Melayu," katanya.

Semalam, Kongres Ekonomi Cina menuntut ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat, selain meminta kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam bidang perniagaan tempatan, dapat dicapai.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata PERKASA akan melancarkan kempen boikot makan ayam selama seminggu mulai Rabu ini berikutan kenaikan harga ayam menjelang musim perayaan.

"Masa tahun 1980-an, kita pernah boikot mandarin oren. Jadi, dalam kes harga ayam ini, kalau pengguna dapat bersabar tidak makan ayam selama seminggu, kita boleh tengok apa akan jadi kepada penternak dan pembekal ayam," katanya.

0 Komen pengunjong :