KUALA LUMPUR- “Tidak ada apa yang baru dan menghairankan.
Sebenarnya Umno telah lama campur tangan secara langsung terutamanya
setiap kali menjelang pilihanraya kampus,” kata Ketua Pemuda PAS Malaysia,
Nasrudin Hassan .
Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Ketua
Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang akan menubuhkan Kelab Umno atau
penyokong Umno di kampus IPT.
Katanya, telah didedahkan sebelum ini penglibatan menteri secara
langsung mencatur strategi politik mahasiswa pro Umno (pro Aspirasi) dan
melibatkan pihak Hal Ehwal Pelajar/mahasiswa kampus IPTA yang berfungsi
sebagai suruhanjaya pilihan raya kampus.
Bahkan, ujar beliau sebahagian daripada siri pertemuan ini diadakan
di Menara Datuk Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Terbaru, tambahnya Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Perdana
Menteri dikatakan diberi tanggungjawab untuk memenangkan Umno dalam
pilihan raya kampus 2012.
“Walaupun pendedahan demi pendedahan dibuat berkaitan komplot ini,
Umno hanya buat pekak badak seolah-olah mengiyakan apa yang didakwa,”
ujarnya dalam satu kenyataan.
Pun begitu, katab Nasrudin golongan pro Aspirasi tetap gagal menawan
kampus-kampus IPT perdana seperti UM, UKM, UIAM dan sebagainya.
Katanya, ini membuktikan walaupun ditekan hebat oleh HEP dan Umno,
golongan mahasiswa tetap menolak calon-calon tajaan Umno kerana muak
dengan politik sempit parti itu.
Pihak Pemuda PAS, jelas beliau sejak awal telah berpandangan bahawa
mahasiswa dan dunia academia perlu diberi ruang untuk melaksanakan
pelbagai aktiviti dan gerak kerja berasaskan kepada tuntutan ilmu dan
kebebasan akademik (academic freedom) termasuk dalam aktiviti
berpolitik.
“Selagi ruang yang luas dan segar tidak diwujudkan, Pemuda PAS
melihat bahawa penubuhan Kelab Umno kampus adalah satu lagi kaedah
menghukum mahasiswa yang tidak bersedia menjadi ahli dan penyokong Kelab
Umno tersebut,” ujarnya lagi.
.
0 Komen pengunjong :