Showing posts with label Rafizi Ramli. Show all posts

Menteri Terus Enggan Dedah Syarikat Dakwat SPR

rafizi 01

KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat terus berdolak-dalih untuk mengumumkan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu meskipun berulang kali diasak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Sebaliknya, Shahidan hanya mengumumkan nama syarikat yang mendapat kontrak pembekalan peralatan lain seperti topi iaitu Nash Ventures Sdn Bhd semasa berucap dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika ditemui mengesahkan, maklumat syarikat yang diumumkan Shahidan itu sama seperti yang diterimanya daripada sumber dalaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Walaupun syarikat ini tidak dimiliki secara rasmi oleh ahli perniagaan dari Singapura, Mohamed Salleh Mohamed Ali tetapi ia menggunakan alamat pendaftaran yang sama dengan syarikat lain di mana isteri Salleh adalah Pengarahnya.
“Itu maksud saya bahawa ada tiga syarikat yang memasuki rundingan terus dengan pihak SPR dengan ketiga-tiganya mendapat kontrak dakwat kekal, t-shirt dan topi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau turut berpendapat pihak SPR mahupun Kerajaan Pusat tidak akan mendedahkan mana-mana syarikat lain dalam masa terdekat bagi mengesahkan dakwaan itu.
Kata Rafizi, Menteri menggunakan alasan sama untuk tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kononnya atas tujuan keselamatan.
“Sekarang ini terpulang kepada SPR bagaimana untuk menyelamatkan kredibiliti mereka kerana orang sudah tahu.
“Saya tidak nampak kenapa mereka mesti melindungi perkara ini, lebih baik terus terang dan terangkan kepada rakyat kenapa syarikat itu dipilih,” ujarnya.
Rafizi semalam mendedahkan nama seorang individu yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin tertinggi SPR untuk membekalkan dakwat kekal semasa pilihan raya yang lalu.
Ia bagaimanapun dinafikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.
Seterusnya >>>

Umno peralat MP Simpang Renggam fitnah Anwar isu Wikileaks - Rafizi

RafiziKUALA LUMPUR : Fitnah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu akaun bank luar negara berkemungkinan diarahkan Umno supaya boleh digunakan Utusan Malaysia untuk memburukkan Ketua Pembangkang itu.
Demikian ujar Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang bersimpati terhadap Liang kerana diperalatkan untuk kepentingan Umno dan akhabar kawalan parti itu tanpa menyedari kesan buruk kepada kedudukannya dalam Dewan Rakyat.
“Sampai sekarang Simpang Renggam bukan sahaja tidak berani mengulanginya di luar Dewan seperti yang KEADILAN cabar, bahkan dalam Dewan Rakyat pun dia tak sebut lagi dan kalau kita semak hansard beliau dalam sidang yang lepas, itu bukan wataknya.
“Simpang Renggam mungkin tidak sedar bahawa ketika dia memfitnah, pada masa yang sama, kita juga menyemak Wikileaks. Sepatutnya beliau bertanggungjawab dengan sebarang dakwaan, semak dahulu fakta, bukan cakap melulu,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk merujuk Liang ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen atas kenyataannya yang mendakwa Anwar memiliki wang ratusan juta ringgit dalam akaun bank luar negara.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Speaker telah memberitahunya bahawa usul tersebut akan dibahaskan pada Khamis ini.
Rafizi menambah, fitnah Liang itu dibuat bukan berdasarkan kepada Wikileaks tetapi blog-blog Umno yang memang diketahui tiada wibawa dan hanya mereka-cipta tuduhan seperti itu.
Justeru, Pakatan Rakyat akan menyerahkan prosiding kepada Speaker untuk membawa usul berhubung fitnah Liang supaya dibahaskan dalam Dewan Rakyat dan dibuat undian.
“Saya yakin Speaker akan membenarkan usul itu, sama ada undi nanti menang atau tidak bergantung kepada undian tetapi kalau Barisan Nasional pun setuju untuk sama-sama menjaga kemuliaan Dewan, maka beliau perlu dirujuk kerana jelas sampai sekarang dia tidak boleh membawa bukti dan penjelasan,” kata Pengarah Strategi KEADILAN itu.
“Sebab itu Dewan tidak ada pilihan lain kecuali untuk membahaskan usul itu kerana jika tidak maknanya kemulian Dewan Rakyat direndahkan kerana ia menjadi tempat untuk menjaja fitnah baru,” kata Rafizi
Seterusnya >>>

SPR belanja hampir RM500 juta pada PRU13 - Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan perbelanjaan hampir setengah bilion ringgit pada Pilihan Raya 2013 (PRU13).
Pada sidang media di lobi Parlimen, beliau berkata, ia dibuktikan apabila SPR memohon peruntukan tambahan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibawa ke Parlimen hari ini dengan tambahan  RM60 juta.
Pengarah Strategi PKR itu berkata, peruntukan tambahan itu bagi menampung urusan kos perbelanjaan persediaan awal yang digunakan pada 2012 sebelum PRU13.
Beliau berkata, SPR diberi peruntukan RM45 juta tetapi memerlukan tambahan RM360 juta sebelum ini.
"Berkemungkinan mereka jangka PRU13 berlangsung pada 2012 tetapi sebaliknya 2013. Ini tambahan lagi RM60 juta, kalau tidak digunakan mengapa perlukan tambahan kewangan?" katanya yang menggesa SPR mengemukakan butiran perbelanjaan untuk semua jumlah peruntukan itu.
"Jumlahnya RM465 juta. Kita akan terus tanya di Dewan. Setakat ini jawapan disediakan SPR. Mereka tidak sediakan pecahan," katanya, menambah 'permohonan peruntukan tambahan' dibuat selepas ia digunakan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kepada Bernama jumlah sebenar perbelanjaan PRU13 hanya diketahui apabila akaun perbelanjaan pilihan raya ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan pejabat SPR negeri.
"Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan setiap kos pada PRU disertai dengan butiran dan akhirnya diperiksa dan diaudit.
"Berdasarkan pengalaman, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau jumlah siling yang diluluskan. Dasar SPR ketika meminta peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak cukup.
Jadi kita membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran besar," katanya.
Ahli Parlimen pembangkang juga sebelum ini mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200 juta pada PRU12.
Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media di Parlimen hari ini turut mempersoalkan pertambahan dana berkenaan serta menyelar Wan Ahmad bercakap tanpa fakta.
"Beliau cuba sembunyikan fakta. Semalam dia cakap tidak cecah siling, tapi hari ini ada (permohonan) tambahan peruntukan RM60 juta," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lalu menyatakan kos perbelanjaan mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta.
Daripada jumlah itu, pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan lain RM93.354 juta.
Wan Ahmad dalam penjelasannya berkata, pertambahan siling peruntukan itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Perbendaharaan.
Justeru, Rafizi menggesa SPR supaya mengemukakan pecahan perbelanjaan yang digunakan pengendali pilihan raya berkenaan.
"Saya lebih runsing dengan pendirian SPR yang tidak mahu perincikan perbelanjaan mereka," katanya. - 8 Julai, 2013.
Seterusnya >>>

Takut sama takut

TAKUT SAMA TAKUT: Taib takutkan Sarawak Report, Najib pula takutkan Taib

Rafizi Ramli hari ini menghentam Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, kerana menghalang wartawan UK, Clare Rewcastle Brown, daripada memasuki negeri Sarawak. Beliau memberikan amaran bahawa tindakan ini akan mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sederhana dan mengesahkan bahawa Taib mempunyai perkara-perkara yang perlu disembunyikan.
Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata bahawa tindakan yang cemerkap ini bercanggah dengan janji Perdana Menteri Najib untuk meluaskan ruang demokrasi di Malaysia. Namun demikian, beliau tidak mengharapkan Najib, yang kebetulannya kini berada di London, untuk mampu membuat apa-apa mengenai insiden ini.
"PM kita terlalu lemah dan tidak berdaya untuk melawan Taib Mahmud. Jikalau ikut kehendak Najib, Taib tidak akan menjadi Ketua Menteri sekarang. Jika Najib memang berani mengambil tindakan terhadap Taib dulu, kita pasti sudah ada kerajaan baru sekarang. Dia tidak berani kerana Taib menguasai banyak kerusi, samada secara terus melalui partinya ataupun melalui parti-parti kecil yang lain di Sarawak. Jadi jangan harapkan Najib untuk menunjukkan sebarang tindakan yang berani," kata Rafizi.
"Ini cukup memalukan walhal terdapat seorang individu (Clare) cukup berani untuk datang dari kota London untuk mempertahankan dirinya di dalam mahkamah Sarawak. Boleh dikatakan beliau terus memasuki jerumun harimau walaupun kebebasan kehakiman Malaysia masih menjadi tanda tanya di mata dunia. Hakikatnya kerajaan Sarawak tidak berani membenarkan seorang individu yang cukup yakin mengenai perjuangannya untuk memasuki negeri itu. Ini cuma akan menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa kerajaan Sarawak dan Malaysia tidak telus dan mempunyai perkara-perkara yang perlu disembunyikan.
"Clare merupakan sahabat akrab saya dan beliau adalah seorang yang amat tabah dan tekad. Jika Taib rasa bahawa dengan menghalang Clare dariapada memasuki Sarawak dia boleh menutup mulut beliau, dia memang salah. Sebaliknya ini cuma akan memberikan Clare inspirasi untuk menggiatkan lagi kempennya di seluruh dunia. Taib cuma akan berjaya mengaibkan reputasinya dan kerajaannya di mata dunia".
Seterusnya >>>

SPRM bercanggah jawapan di parlimen - Rafizi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjawab dakwaan percanggahan antara angka kejayaan yang diberikannya dengan angka yang dinyatakan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pada 2012, SPRM menyatakan peratusan sabitan telah meningkat sehingga 85 peratus. Manakala angka itu telah meningkat sehingga 89 peratus menjelang Jun 2013.

Namun tegas beliau, angka yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low di Dewan Rakyat adalah 67 peratus sabitan pada 2012 dan 34 peratus pada Jun 2013.

“Percanggahan angka sebegini tentu mengundang pelbagai persoalan dan menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai keberkesanan dan kecekapan SPRM,” katanya dipetik Selangorku.

Bercakap pada sidang media semalam, Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, peratusan laporan yang diberikan kepada SPRM secara puratanya masih rendah iaitu hanya 0.02 peratus per kapita rakyat sedangkan di Hong Kong peratusan itu tiga kali ganda lebih tinggi.

Ujarnya, jika rakyat tidak tampil ke hadapan dan tidak mahu memberikan maklumat maka sudah tentu lebih sukar untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

“Hanya satu daripada setiap lima maklumat atau laporan yang diberikan yang berakhir dengan dengan fail siasatan dibuka,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun mungkin banyak maklumat dikategorikan sebagai bukan berkaitan rasuah namun angka itu membayangkan sama ada kemahiran siasatan SPRM perlu dipertingkatkan atau berlaku campur tangan.

“Kesudian SPRM menerima pandangan mengenai perkara ini dihargai namun ia perlu disusuli dengan peningkatan angka prestasinya terutama jumlah laporan dan maklumat yang berakhir dengan fail siasatan dibuka.

“Selagi kedua-dua angka ini tidak meningkat, SPRM masih berdepan dengan masalah persepsi negatif di kalangan rakyat,” kata beliau.
Seterusnya >>>