Ahli
Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menggunakan perbelanjaan hampir setengah bilion ringgit pada Pilihan
Raya 2013 (PRU13).
Pada sidang media di lobi Parlimen, beliau berkata, ia dibuktikan
apabila SPR memohon peruntukan tambahan dalam Rang Undang-Undang
Perbekalan yang dibawa ke Parlimen hari ini dengan tambahan RM60 juta.
Pengarah Strategi PKR itu berkata, peruntukan tambahan itu bagi
menampung urusan kos perbelanjaan persediaan awal yang digunakan pada
2012 sebelum PRU13.
Beliau berkata, SPR diberi peruntukan RM45 juta tetapi memerlukan tambahan RM360 juta sebelum ini.
"Berkemungkinan mereka jangka PRU13 berlangsung pada 2012 tetapi
sebaliknya 2013. Ini tambahan lagi RM60 juta, kalau tidak digunakan
mengapa perlukan tambahan kewangan?" katanya yang menggesa SPR
mengemukakan butiran perbelanjaan untuk semua jumlah peruntukan itu.
"Jumlahnya RM465 juta. Kita akan terus tanya di Dewan. Setakat ini
jawapan disediakan SPR. Mereka tidak sediakan pecahan," katanya,
menambah 'permohonan peruntukan tambahan' dibuat selepas ia digunakan.
Sebelum
ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kepada
Bernama jumlah sebenar perbelanjaan PRU13 hanya diketahui apabila akaun
perbelanjaan pilihan raya ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan
pejabat SPR negeri.
"Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan
setiap kos pada PRU disertai dengan butiran dan akhirnya diperiksa dan
diaudit.
"Berdasarkan pengalaman, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau
jumlah siling yang diluluskan. Dasar SPR ketika meminta peruntukan, kita
tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak cukup.
Jadi kita membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran besar," katanya.
Ahli Parlimen pembangkang juga sebelum ini mempersoal jumlah
perbelanjaan SPR yang meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun
berbanding hanya RM200 juta pada PRU12.
Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media di
Parlimen hari ini turut mempersoalkan pertambahan dana berkenaan serta
menyelar Wan Ahmad bercakap tanpa fakta.
"Beliau cuba sembunyikan fakta. Semalam dia cakap tidak cecah siling,
tapi hari ini ada (permohonan) tambahan peruntukan RM60 juta," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam
jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lalu menyatakan kos perbelanjaan
mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta.
Daripada jumlah itu, pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018
juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT,
sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain RM98.465 juta, bayaran
perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta
perbelanjaan lain RM93.354 juta.
Wan Ahmad dalam penjelasannya berkata, pertambahan siling peruntukan
itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap
negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan
Perbendaharaan.
Justeru, Rafizi menggesa SPR supaya mengemukakan pecahan perbelanjaan yang digunakan pengendali pilihan raya berkenaan.
"Saya lebih runsing dengan pendirian SPR yang tidak mahu perincikan perbelanjaan mereka," katanya. - 8 Julai, 2013.
0 Komen pengunjong :