Rampasan kuasa tentera Mesir merobek demokrasi


4 Julai 2013 mencatatkan sejarah hitam bagi sejarah demokrasi dunia moden apabila tentera Mesir bertindak merampas kuasa daripada seorang presiden negara yang dipilih secara demokrasi seterusnya menggantung perlembagaan negara Mesir.

Untuk menjustifikasikan tindakan tidak demoratik mereka, tentera Mesir dari awal lagi cuba mengelabui mata antarabangsa dengan 3 tindakan.

Pertamanya, tentera Mesir cuba menggambarkan bahawa tindakan mereka merampas kuasa adalah demi menunaikan kewajipan bernegara dan bukan kerana bermotifkan politik. Justifikasi ini sangat penting kerana tindakan mereka merampas kuasa terhadap kerajaan yang sah dipilih secara demokrasi adalah salah di mata dunia. Ia juga bertujuan mengelakkan Mesir dari disekat bantuan ekonomi oleh negara-negara Eropah dan Amerika.

Kedua, melantik orang awam menjadi Presiden sementara Mesir.
Rampasan kuasa oleh tentera bukanlah cara yang sah untuk mendapat kuasa. Namun sejarah dunia moden menunjukkan banyak kerajaan baru dibentuk menerusi rampasan kuasa oleh tentera seperti pernah berlaku di Libya, Syria, Iraq dan Pakistan. Selalunya Pemerintah tentera melantik jeneralnya sebagai pemerintah baru negara seterusnya berlakulah siri pemerintah autokrasi yang tidak demokratik. Namun, tentera mesir dilihat cuba bertindak bijak apabila tidak melantik jeneralnya yang merampas kuasa sebagai pemerintah sementara. Sebaliknya tentera melantik seorang awam yang mempunyai latar belakang perjawatan kerajaan sebagai presiden sementara iaitu seorang hakim mahkamah.

Meskipun begitu tindakan mereka gagal mendapatkan sokongan bulat negara-negara besar dunia kerana hakikatnya ia merupakan perancangan jahat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Hari ini 4 buah negara besar barat iaitu Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mula mempertikaikan tindakan rampasan kuasa ini kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang mereka perjuangkan.
Ketiga, tentera menjanjikan pilihanraya umum terdekat bagi memilih presiden baru.

Namun, Janji manis tentera untuk mengadakan pilihanraya umum dalam masa terdekat tidak mampu mengelabui mata masyarakat antarabangsa. Sebabnya ialah untuk apa dibuat pilihanraya baru sedangkan kerajaan Dr Morsi adalah terpilih menerusi pilihanraya bersih yang sangat demokratik. Tidak ada justifikasi yang kuat untuk tindakan tentera melainkan sekadar memuaskan keinginan pihak tertentu yang inginkan kuasa di kalangan pembangkang Mesir. Tentera hanyalah alat kepada golongan sekular dan liberal yang mencari jalan menjatuhkan kerajaan Ikhwan Muslimin ini atau rakan kongsi strategik yang mempunyai kepentingan politik tersendiri. Jeneral Abas Sisi apabila dilantik menjadi menteri pertahanan oleh kerajaan Dr Morsi, maka beliau juga telah menjadi orang politik. Tanpa dilandasi iman dalam berpolitik seorang ahki politik akan bertindak apa sahaja. Dalam bahasa demokrasi digunakan istilah "binatang politik" (animal ????) Yang akhirnya bertindak menghalalkan apa sahaja cara demi kelangsungan cita-cita politik.

Dalam isu Mesir perspektif negatif rampasan kuasa oleh tentera bertambah negatif kerana ia dilakukan terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi pilihanraya yang diiktiraf sebagai bersih. Justeru, tindakan tentera mula menjadi bahan pertikaian dunia barat yang mengagongkan demokrasi. Dunia barat mungkin tidak bersetuju dengan Dr Morsi kerana beliau datang dari sebuah parti Islam. Namun tindakan merampas kuasa kerajaan yang dipilh secara demokrasi merosakkan demokrasi yang mereka perjuangkan.

Tindakan kerajaan Turki yang dipimpin oleh Erdogan menolak tindakan jahat tentera sangat bijak dari sudut politiknya. Ini kerana Turki juga berhadapan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi demonstrasi awam yang ditaja oleh pembangkang daripada golongan sekular dan liberal. Dan tidak pelik jika tentera Turki juga campur tangan sepertimana dilakukan oleh tentera mesir dengan hujah kerajaan Erdogan cuba mencanggahi inspirasi perlembagaan sekular yang diasaskan oleh Kamal Atartuk. Namun, menariknya, Bukan sahaja kerajaan, malah pembangkang Turki juga berkongsi pandangan yang sama dengan kerajaan.


Bagaimana "mood" dunia barat yang tidak selesa dengan tindakan tidak demokratik ini dapat dimanfaatkan untuk menggerakkan sokongan antarabangsa terhadap keabsahan kerajaan Dr Morsi? Persoalan ini perlu difikirkan bersama.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

0 Komen pengunjong :