Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN)
bulan lalu memutuskan untuk menubuhkan makmal politik BN bulan depan
khusus bagi membuat cadangan mengenai perubahan yang perlu dilakukan
kepada gabungan itu.
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata
makmal berkenaan akan melihat sama ada perubahan itu melibatkan
struktur, penjenamaan atau dasar BN atau ketiga-tiganya sekali.
Berdasarkan kenyataan Najib tersebut gabungan yang diasaskan pada 1983 itu dilihat sedang mengalami pergolakan yang meruncing.
Idea penubuhan makmal tersebut juga di lihat sebagai kemuncak kepada
rasa tidak puas hati sebahagian besar dari 13 parti komponen BN terhadap
domonasi Umno selama ini yang menerajui kerajaan.
Paling jelas MCA dan Gerakan yang merupakan gabungan terbesar komponen BN yang enggan menyertai kabinet Najib selepas tamat PRU13 lalu.
Reaksi dari tindakan MCA dan Gerakan ini, terdapat cadangan supaya BN
menjadi parti tunggal. Parti tunggal tersebut bermaksud kesemua 13
parti komponen akan berada dibawah satu perlembagaan parti. Buat masa
ini setiap parti mempunyai perlembagaan masing-masing dan cuma bergabung
atas nama BN.
Persoalan asas yang harus ditanya adalah mengapa MCA dan Gerakan
begitu berani mengambil jalan protes secara sinis terhadap Najib dan
kepimpinan beliau?
Bagi Umno tindakan MCA disambut baik kerana banyak jawatan-jawatan dalam kabinet akan disapu oleh calon-calon Umno.
Sememangnya berdasarkan sejarah pun, Umno hanya akan mengadakan
hubungan baik sekiranya ada kepentingan yang menguntungkan. PAS pernah
mengalami pengalaman pahit tersebut.
Kini MCA dan beberapa parti komponen lain sedang merasai ‘nikmat’ dari tindakan Umno tersebut.
Sebelum
ini MCA dan beberapa parti yang mewakili kaum Cina menjadi aset
kejayaan BN dalam setiap PRU. Namun kini masyarakat Cina menjadikan
Pakatan Rakyat sebagai kiblat politik dan penolakan mereka disebabkan
MCA bersengkol dengan Umno.
Keputusan PRU13 yang menyaksikan hampir 90 peratus masyarakat Cina menolak BN adalah jawapan kepada tindakan MCA tersebut.
Amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dikalangan
pemimpin-pemimpin serta tindakan Umno yang menggunakan sentimen
perkauman, agama dan ala samseng menjadikan orang Cina merasa takut,
tersinggung dan tersisih.
Bayangkan bekas perdana menteri yang suatu ketika dahulu dihormati
oleh masyarakat Cina, Tun Dr Mahathir Mohamad berani membuat kenyataan
bersifat perkauman bertujuan menyelamatkan Umno dari kalah dalam PRU13
lalu. Ironisnya apatah lagi ‘sifat pendam’ pemimpin-pemimpin Umno
sekarang yang sedang bergelut dalam survival politik semasa.
Amalan rasuah dan kronisme dalam Umno juga menjadikan orang-orang
Cina terpinggir dari sudut agihan kekayaan ekonomi negara walaupun
mereka merupakan golongan pengusaha yang gigih.
Dalam asas politik mudah, usaha menawan hati rakyat bukanlah terlalu kronik. Rakyat hanya mahukan nasib mereka terbela dengan keperihatinan kerajaan terhadap nasib mereka.
Rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan resisme pula adalah musuh sebenar rakyat terhadap kerajaan.
Kerajaan yang perihatin pula bermaksud usaha kerajaan untuk
mengurangkan sebaik mungkin bebanan yang di tanggung rakyat selain
pengurusan agihan kekayaan negara dilakukan secara telus dan adil.
Umno-BN gagal melaksanakan amanah ini. Lantaran itulah keputusan PRU13 lalu Umno-BN hanya mencatatkan 47 peratus undi popular.
Umno Tidak Demokratik
Walaupun pembentukan BN telah berusia 40 tahun namun dalam tempoh
tersebut BN terus mempertahankan wadah politik perkauman. Sedangkan pola
politik dunia dan politik dalaman sedang melalui era politik baru yang
berteraskan keadilan sejagat.
Umno-BN lebih tertekan apabila menyaksikan politik baru Pakatan yang
semakin mendapat perhatian rakyat pelbagai kaum khususnya masyarakat
Cina. Asas kejayaan ini berkiblat kepada politik pelbagai kaum yang
membelakangkan dasar-dasar rasisme.
PKR yang terdiri dari parti pelbagai kaum, DAP yang juga dianggotai
masyarakat pelbagai kaum serta PAS yang telah membuka keahlian kehormat
kepada masyarakat bukan Islam melalui kelab penyokong PAS adalah contoh
politik baru yang memecah politik perkauman ala BN.
Gabungan
PR yang baru berusia sepuluh tahun dan memperoleh kemenangan undi
popular 51 peratus ketika PRU13 lalu setentunya menggerunkan BN yang
berusia 40 tahun penubuhannya.
Umno pula bagaikan terperangkap apabila bercakap untuk mempertahan
memperjuangkan hak orang melayu kerana akan menghiris perasaan orang
Cina, India dan lain-lain kaum.
Begitu juga pemimpin MCA dan MIC yang bercakap mengenai
mempertahankan hak kaum masing-masing akan menimbulkan kemarahan
orang-orang Melayu Umno. Senario dari dilema ini tidak mungkin berakhir
selagi dasar politik perkauman ini tidak di pecahkan.
Sikap dayus Umno serta takut dengan bayang-bayang sendiri meletakkan
parti tersebut ketinggalan zaman. Usaha untuk tidak mempertandingkan
jawatan Presiden dan timbalannya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini
membuktikan parti usang tersebut hilang wajah demokratiknya.
Justeru bagaimanakah Najib dan Umno mampu melaksanakan solusi hasil
bedah siasat yang diputuskan oleh Makmal politik BN nanti? Sedangkan
kelayakan Najib menerajui Umno pun berasaskan dasar dayus Umno yang
memperuntukan kuota 30 peratus sokongan untuk mencabar kedudukan
presiden.
Makmal Umno Untuk Salahkan MCA dan Gerakan
Apa pun sudah lebih 56 tahun Umno berkuasa. Pelbagai dasar dan moto
diperguna untuk penjenamaan semula Umno dan BN. Namun semuanya gagal.
Berbilion ringgit telah digunakan untuk penjenamaan semula
pemimpin-pemimpin Umno.
Dasar Pandang Ke timur di era Dr Mahathir bertukar kepada Islam Hadhari di zaman Tun Abdullah dan sekarang penjenamaam 1Malaysia
di era Najib. Semua ini sekadar ilusi untuk kaburi mata rakyat yang
habuannya dikaut oleh segelintir kroni-kroni dan adik beradik.
Bulan ini makmal politik BN akan memulakan tugasnya. Setentunya
makmal ini akan di terajui oleh pemimpin Umno … Dan paling teruja
adalah makmal ini bertujuan melarikan isu kelemahan Najib yang gagal
memberikan prestasi lebih baik kepada Umno-BN dalam PRU13 lalu.
Lalu keputusan makmal tersebut akan meletakkan kesalahan kepada MCA
dan Gerakan yang gagal memastikan orang-orang Cina menyokong BN. Itulah
Umno dan cara Umno sejak dahulu, kini dan selama-lamanya.
0 Komen pengunjong :