KUALA LUMPUR:
Negara hari ini amnya dan rakyat keseluruhan khasnya tidak memerlukan
‘ahli parlimen kedai kopi’ ke arah memacu negara mencapai standard dan
piawaian negara maju.
Demikian pandangan Ahli Parlimen Temerloh,
Nasrudin Hassan sebagai respons kepada kekecohan yang tercetus di Dewan
Rakyat semalam.
Berikut adalah tulisan beliau.
Parlimen
adalah sidang para wakil rakyat yang dipilih melalui mandat rakyat
teramai dalam pilihanraya. Ertinya mereka adalah figure terpilih seramai
222 orang mewakili rakyat seluruh negara. Sama ada mereka mewakili
Barisan Nasional [ 133 ] ataupun Pakatan Rakyat [ 89 ].
Kini wakil-wakil rakyat ini sedang bersidang dan bermesyuarat sejak 24 Jun 2013 yang lalu.
Mesyuarat
pertama adalah untuk membahaskan Titah Diraja, Rang Undang-Undang dan
Bajet Tambahan serta menjawab lisan soalan-soalan yang dikemukakan oleh
ahli-ahli parlimen.
Masa sidang masih berbaki 2 hari sahaja lagi
sebelum ia berakhir pada Khamis ini bersamaan 18 Julai 2013 bagi
Mesyuarat Pertama pada Penggal Pertama.
Suasana sidang hari ini
sangat mendukacitakan saya. Apabila terdapat Ahli Parlimen yang
mengeluarkan kenyataan atau ungkapan yang sering disebut oleh Yang
Dipertua Dewan sebagai ‘kalimah unparliamentary’.
Mungkin
kerana saya junior di Parlimen ini tetapi ia tetap menjadi satu
kesalahan yang tidak wajar diungkap oleh ahli parlimen atau seorang yang
bergelar pemimpin.
Contohnya semalam MP Kinabatangan beberapa
kali mengeluarkan kenyataan yang saya anggap keterlaluan apabila
melemparkan sangkaan jahat kononnya pasangan Alvin dan Vivian yang
menghina Islam adalah tajaan DAP.
Lebih tidak beradab apabila
beliau menyebut dengan nada yang tinggi perkataan ‘kafir laknat’ kepada
seorang ahli parlimen yang lain meskipun ahli parlimen itu adalah
seorang non muslim.
Saya menyaksikan situasi ini dengan penuh
kesal. Usahkan saya, kelihatan Yang Dipertua Dewan juga sukar untuk
mententeramkan mereka.
Berhujah menggunakan bahasa kesat dan
nada suara memekik terlolong tanpa memperduli amaran Yang Dipertua
supaya masing-masing duduk dan menumpukan kepada topik perbahasan.
Suasana
parlimen semalam, kalaupun tidak menyerupai ‘pasar borong’ , tidak
keterlaluan kalau saya katakan ianya tidak ubah seperti kedai kopi.
Selayaknya
ahli-ahli parlimen sebegini mempertingkatkan disiplin diri, berbahas
berasaskan hujah , fakta dan figur, bukan emosi yang tidak menentu
disulam pula sangkaan jahat antara satu sama lain.
Memekik
terlolong meningkah antara satu sama lain. Ia tidak menyelesaikan
masaalah dan tidak membantu ahli parlimen membuat keputusan dengan baik.
Saya harap ia tidak dicontohi oleh ahli-ahli parlimen baru. Ia adalah sempadan yang wajar dihindari.
Senior
sayugianya menunjuk contoh yang baik kepada ahli parlimen yang junior.
Lebih penting untuk diinsafi betapa mereka sedang ditonton oleh rakyat
bahkan sedang diperhatikan oleh dunia. Kualiti ahli parlimen ini masih
rendah.
Justeru itu, negara perlukan perubahan besar untuk melahirkan ahli parlimen bertaraf dunia.
Sungguh
saya sebut di sini bahawa negara hari ini amnya dan rakyat keseluruhan
khasnya tidak memerlukan ‘ahli parlimen kedai kopi’ ke arah memacu
negara mencapai standard dan piawaian negara maju.
0 Komen pengunjong :