Tiada sebab saya perlu tipu, Mat Sabu anggap polis berbohong

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu mempertahankan dakwaannya ke atas polis sebelum ini bahawa motosikal diboncengnya telah dirempuh kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.
Sehubungan itu Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, beliau tiada sebab untuk berbohong berhubung nasib dialaminya tiga minggu lalu.
“Buat apa saya tipu, siapa mahu masuk hospital, duduk saja, tidak boleh berceramah hentam Umno yang zalim,” kata Mohamad dalam temu bual dibawa oleh Harakah keluaran terbaru dengan tajuk muka depan “Jumpa di mahkamah” dan tajuk di muka kedua “Timbalan Presiden PAS anggap polis berbohong”.
Justeru kata Mohamad, kesemua imej dan rakaman yang dikeluarkan oleh polis mengenai kemalangan melibatkan beliau pada 9 Julai lalu adalah tidak benar.
“Gambar kereta yang merempuh saya yang sedang membonceng motosikal tidak kelihatan dalam gambar kerana Pajero milik polis berada di hadapan.
“Jika tidak pasti nampak kereta polis (Proton Waja) merempuh sehingga saya terjatuh dari motor,” kata beliau dalam temu bual terbaru ini.
Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.
Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamen yang terkoyak.
Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa Mohamad dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak menghalang hasrat Mohamad yang dilapor mahu menyaman polis atas dakwaan dilanggar sebuah kereta polis semasa perhimpunan Bersih.
Kata beliau, polis tidak boleh menghalang mana-mana pihak atau individu yang mahu menyaman PDRM termasuk oleh anggota dan pegawai polis sendiri.
“Itu hak individu, kita (PDRM) tak menghalang (saman). Kita agensi yang profesional,” kata beliau.
“Kita dah jalankan tugas kita dengan memberi penjelasan dan gambaran apa yang berlaku itu semalam (tayangan video) . . . terpulang kepada mana-mana pihak untuk buat penilaian,” katanya.
Laporan media kelmarin menyebut Mohamad telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada PDRM kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal diboncengnya.
Sehari sebelum itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid pada sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin nombor dua PAS itu.
“Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar ‘fender’ Pajero,” katanya.
Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mohamad. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.
Mengenai keadaannya sekarang, Mohamad berkata, “Alhamdullilah berkat doa rakan-rakan semua pembedahan lutut saya untuk memasukkan besi sudah pun selesai.”
“Selepas seminggu pembedahan iaitu pada 15 Julai lalu, saya sudah boleh meletakan kaki kanan ke lantai, tidak macam mula kena dulu terpaksa, dipapah atau bertongkat tanpa meletakan tapak kaki ke lantai sebab rasa sakit yang teramat sangat di bahagian lutut,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Mohamad yakin Suhakam akan menjalankan siasatan dengan telus berhubung aduan yang dibuat minggu lalu.
“Sebab itu kita ada suruhanjaya penyiasat, kehakiman atau badan Suhakam. Namun saya beri kepercayaan kepada Suhakam kerana ia lebih telus membuat siasatan kerana ia bersikap tengah daripada siasatan polis.
“Jika polis tidak kasar bagaimana boleh ada kematian, kecederaan seperti saudara (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad yang menerima jahitan di kepala, sahabat kita dari Balik Pulau yang menerima 20 jahitan luar dan bahagian dalam mulut, pengiring Datuk Seri Anwar dan banyak lagi.
“Sedangkan perhimpunan kita aman, tidak membawa apa-apa barangan sehingga mengakibatkan pihak polis bertindak di luar batasan,” kata beliau.
Ditanya sama ada perhimpunan tempoh hari sudah memadai, Mohamad berkata, “tidak memadai lagi untuk kita berpuas hati sebab sampai saat ini SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) belum pun berbincang untuk menerima tuntutan Bersih 2.0, begitu juga kerajaan yang berkuasa.”
“Mereka berdiam diri tetapi cuba mengalih pandangan rakyat dengan cerita kononnya pembangkang memperkudakan Bersih 2.0 di samping membuat tuduhan polis bertindak jahat dan keterlaluan.
“Sekiranya SPR atau kerajaan masih berdegil tidak mustahil satu lagi kebangkitan rakyat Bersih 3.0 akan bergema dengan kumpulan yang lebih besar.  Apa pun kita tunggu dalam masa tiga bulan akan datang,” katanya.

1 comment :

  1. Apa nak hairan.Merekax yang zalim ini Allah SWT telah
    janjikan NERAKA buat mereka,

    ReplyDelete