Kesan Bersih 2.0 lebih besar – Presiden PAS


TUMPAT : Tidak lama selepas Bersih 1.0 diadakan pada November 2007, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima kesannya apabila dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008.
Dan kesan gelombang Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu diakui banyak pihak lebih hebat lagi dirasakan.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Bersih 2.0 dirasakan lebih hebat berbanding Bersih 1.0.
”Antaranya penyertaan masyarakat bukan Melayu begitu menggalakkan sekali. Ini merupakan satu gabungan sangat baik.
”Sedangkan kerajaan BN menggunakan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang bersikap fanatik  seperti Perkasa dan kumpulan seni silat.
”Namun akhirnya mereka tidak dapat berhimpun dan terpaksa menarik diri kerana tidak dapat sambutan,” katanya selepas perasmian penutup Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan di Pantai Geting, petang ini.
Ijtimak sehari itu bermula jam 9 pagi tadi. Kesemua pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyat hadir. Perasmian pada sebelah pagi diadakan serentak dengan kuliah perdana oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dianggar lebih 20,000 hadir pada ijtimak tersebut apabila lokasi tempat perhimpunan penuh dengan kebanjiran pendokong PAS dari seluruh jajahan.
Menurut Presiden PAS, di negeri lain juga perhimpunan rakyat mendapat sambutan baik di majlis-majlis yang diadakan di seluruh tempat.
”Termasuklah himpunan anjuran Bersih 2.0 yang diatur baru-baru ini mendapat sokongan meluas dari seluruh negara di mana mereka sanggup datang berhimpun di Kuala Lumpur.
”Ini menandakan respon yang sangat positif daripada seluruh rakyat, bukan saja daripada penyokong PAS,” katanya.
Ditanya mengenai peguam Perancis, William Bourdon dilaporkan ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) katanya ia menandakan demokrasi di Malaysia ini masih tidak sempurna.
”Sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar, kerajaan betul, apa hendak ditakutkan,” ujarnya.
Bourdon dilaporkan ditahan sebaik tiba di KLIA. Semalam beliau berada di Pulau Pinang bercakap tentang isu kontroversi pembelian kapal selam Scorpene didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit.
Menurutnya peguam terbabit dilihat berani mempertahankan kebenaran dan kalau tak salah apa hendak ditakutkan.
Sebelum itu ketibaan Tuan Guru Abdul Hadi yang anggota parlimen Marang ke Pantai Geting menaiki motosikal berkuasa besar dari Pantai Seri Tujuh.
Mengenai sambutan hangat ijtimak tersebut katanya Insya Allah kita yakin PAS dapat mempertahankan negeri ini.
”Selama ini walau pun pilihan raya tidak bersih di seluruh negara, Kelantan boleh bertahan. Operasi mengangkut pengundi dari luar, gunakan duit, macam-macam serta serangan media.
Kelantan mampu bertahan

”Dalam masa 20 tahun kita boleh bertahan. Sambutan diberikan hari ini menandakan komitmen, iltizam jentera-jentera PAS untuk terus bekerja bagi mempertahankan kemenangan di Kelantan ini, InsyaAllah,” katanya.
Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mereformasikan demokrasi di Malaysia dan 8 perkara tuntutan Bersih 2.0, beliau mengalu-alukan sebarang langkah supaya membetulkan amalan demokrasi di Malaysia ini.
”Kita sangat-sangat mengalu-alukan cadangan penubuhan itu,” ujarnya.
Mengulas tiada tanda-tanda pimpinan Datuk Seri Najib Razak mahu menerima 8 perkara tuntutan Berih 2.0, beliau berkata sekiranya mahu menjadi pemimpin  bertanggungjawab mesti perubahan dilakukan.
Menurutnya mana-mana pemimpin yang bertahan secara tidak bermoral, jatuh pun juga secara tidak bermoral.
”Lihat seperti apa yang berlaku di Mesir, di Tunisia dan di mana-mana saja di dunia.
”Di Asia Tenggara Marcos dengan Suharto yang memerintah begitu lama dengan revolusi tertutup, akhirnya jagi meletup dan berkaku perubahan.
”Dan kita harap negara kita juga berlaku perubahan dengan cara yang bersopan, pemimpin kena sedar dan insaf,” katanya.
Beliau juga berkata, sekiranya tuntutan mereformasi pilihan raya tidak diterima kerajaan BN, PAS tetap akan menyertai pilihan raya dan menentang sebarang penyelewengan.

0 Komen pengunjong :