Tindakan Ahmad Zahid
Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang secara tiba-tiba bersuara lantang
mahu mempertahankan Akta Hasutan menimbulkan persoalan ramai dan menjadi
percakapan banyak orang ketika ini.
Nawaitu dan keikhlasannya dalam mempertahankan akta itu amat diragui manakala hujah-hujahnya pula terlihat longgar.
Zahid dilaporkan menyelar pihak-pihak yang mahu memansuhkan Akta
Hasutan 1948 tanpa memimirkan kesan negatif daripada tindakan itu.
Beliau berkata, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan
Ordinan Darurat dimansuhkan dan sekiranya Akta Hasutan juga dibuat
tindakan yang sama, apa lagi yang tinggal untuk melindungi rakyat dan
ketenteraman negara.
Selain itu, Zahid juga berkata, jika Akta Hasutan dimansuhkan ia
boleh membawa pertikaian keada 4 aspek dalam Perlembagaan iaitu hak
istimewa orang-orang Melayu, status Raja-Raja, kedudukan Islam sebagai
agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam nada yang lebih tegas, Zahid juga berazam untuk terus
mempertahankan akta itu. Wowww, ternampak macam beliau satu-satunya
pejuang tulen dalam UMNO yang sayangkan negara ini!
Pemansuhan Akta Hasutan adalah sebahagian daripada janji transformasi yang mahu dilakukan oleh Najib sebelum pilihanraya lalu.
Najib menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya
dengan Akta Keharmonian Nasional di mana sebelum itu juga Perdana
Menteri memansuhkan ISA, Ordinan Darurat dan Akta Kolej dan Universiti
atau AUKU yang bertujuan lebih menghargai kebebasan serta hak asasi
rakyat dengan tidak mengabaikan keharmonian dan ketenteraman negara.
Janji Najib ini diucapkan sebelum pilihanraya umum lalu dan ketika
itu semua pemimpin Umno menyokong serta mengalu-alukan langkah yang
diambil Najib itu dengan menyifatkannya sebagai pendekatakan berani
untuk membawa negara lebih maju ke hadapan.
Persoalannya, kenapa baru sekarang Zahid bersuara? Sebagai pemimpin
kanan Umno, jika beliau tidak setuju akta itu dimansuhkan, beliau
sepatutnya bersuara sebaik saja Najib mengumumkan pemansuhannnya dulu.
Tetapi kenapa baru sekarang?
Apakah juga Zahid mahu memberitahu umum bahawa Najib mengambil
tindakan yang salah? Atau maksud yang lebih jauh, Zahid ingin
memberitahu bahawa Najib tidak layak lagi memimpin negara ini?
Penyanggahan Zahid terhadap apa yang mahu dilakukan oleh Perdana
Menteri, bossnya sendiri, sebenarnya mendedahkan kepada beberapa
implikasi seperti gambaran bahawa Najib tidak berhati-hati,
terburu-buru, kurang bijaksana dalam bertindak, tidak layak dan pelbagai
ciri negatif lainnya.
Dalam masa yang sama, Najib dan kerajaan juga terdedah kepada elemen
mungkir janji sedangkan slogan yang menjadi mainan mulut Najib dan UMNO
ialah Janji Ditepati.
Apakah dengan tiba-tiba Zahid bersuara mempertahankan Akta Hasutan
ini ada kaitan dengan pemilihan UMNO yang hanya beberapa bulan saja lagi
di mana beliau disebut-sebut akan bertanding jawatan nombor dua dalam
parti?
Apakah sanggahan terhadap Najib itu dan menunjukkan dirinya pejuang
tulen itu suatu manifestasi penonjolan diri untuk meningkatkan
populariti dan sokongan?
Semua ini membelenggui dirinya kerana Zahid bukanlah terkenal sebagai pemimpin yang lantang tanpa sebab.
Beliau tergambar lebih banyak senyum dan ketawa dan ketika beliau
berani mendedahkan amalan nepotisme dan kronisme dalam kerajaan ketika
menjadi Ketua Pemuda Umno dahulu pun, akhirnya diketahui oleh Mahathir
bahawa beliau berbuat demikian kerana diarahkan oleh Anwar Ibrahim yang
menjadi Timbalan Perdana Menteri waktu itu.
Dalam perjalanan politiknya kemudian pula, tidak ternampak
tindakannya yang lantang dan berani sama ada ketika menjadi Menteri
Pertahanan atau pun Menteri Dalam Negeri.
Jika ada pun ternampak menonjol, ia hanya separuh jalan seperti
ketika mula-mula berpindak ke Kementerian Dalam Negeri. Ucapannya dalam
Perhimpunan Agung Umno pula lebih banyak mengandungi lawak jenaka serta
mengundang ketawa.
Sebab itu, bila tiba-tiba suaranya agak nyaring dalam isu pemansuhan
Akta Hasutan ini, persoalan tentang mawaitunya tidak dapat dielakkan.
Selain kenapa hanya sekarang beliau bersuara mahu mempertahankan Akta
Hasutan ini sedangkan sebelum ini suaranya tidak pernah kedengaran,
hujah-hujah Zahid juga ternyata amat longgar.
Zahid berhujah bahawa jika Akta Hasutan dimansuhkan ia akan
menjejaskan 4 aspek perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu, status
Raja-Raja, kedudukan Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Soalnya apakah dengan pemansuhan Akta Hasutan, tiada undang-undang
lain yang boleh melindungi keempat-empat aspek itu? Bodoh sangatkah
Najib selaku Perdana Menteri tidak mengambil kira mengenainya
semata-mata kerana mahu memansuhkan Akta Hasutan itu?
Bukankah masih ada pelbagai undang-undang dan akta lain yang boleh
digunakan untuk melindungi keempat-empat aspek yang disebut Zahid itu,
meskipun setelah Akta Hasutan digantikan dengan Akta Keharmonian
Nasional?
Janganlah Zahid fikir bahawa hanya Akta Hasutan saja yang boleh
melindungi keempat-empat aspek itu. Dan janganlah juga Zahid fikir
bahawa jika tiada Akta Hasutan, rakyat boleh bebas berbuat apa saja dan
seolah-olah negara ini tiada lagi undang-undang langsung?
Sebenarnya negara masih mempunyai undang-undang dalam pelbagai aspek
tetapi undang-undang dan akta yang tidak adil serta menekan rakyat sudah
sampai waktunya diganti dengan undang-undang lain yang lebih sesuai
dengan tahap kesedaran serta kematangan rakyat.
Mengekalkan undang-undang yang zalim dan tidak adil hanya menyebabkan
negara semakin berundur ke belakang serta dijauhi oleh rakyatnya. Najib
sebenarnya sedang bergerak seiring dengan kehendak rakyat.
Tidaklah menjadi kesalahan untuk Zahid mempertahankan akta itu jika
niatnya benar-benar ikhlas untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya
kerana ada udang di sebalik batu.
Bahkan mungkin pula mampu melonjakkan sokongan yang diharapkan
kepadanya atas keberanian itu tetapi rakyat mengharapkan beliau
konsisten dalam tindakannya sepanjang masa.
Janganlah ia bermusim dan selepas pemilihan Umno berakhir nanti, suara garangnya juga hilang entah ke mana.
0 Komen pengunjong :