SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini
memberikan tiga sebab mengapa baginda berkenan melantik Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas.
Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan
berkata baginda berkenan melantik Abdul Khalid sebagai Menteri Besar
sebab ketua-ketua parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Pas, DAP dan PKR
mengemukakan hanya satu nama iaitu Abdul Khalid sebagai calon menteri
besar.
"Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga memenuhi semua syarat yang
diperlukan bagi jawatan Menteri Besar Selangor seperti mana
diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor
1959," katanya.
Mohamad Munir berkata satu lagi sebab ialah Sultan Selangor berpendapat
Abdul Khalid pernah menjadi menteri besar sebelum ini dan pengalamannya
boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan bahawa kelewatan melantik menteri besar ialah kerana
Sultan Selangor menunggu calon-calon menteri besar dikemukakan oleh
ketiga-tiga parti itu.
"Di samping itu, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pernah
menyatakan sebelum pilihan raya bahawa calon menteri besar tidak
semestinya Abdul Khalid apabila PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
"Justeru itu, Sultan Selangor menunggu parti-parti komponen PR
mengemukakan calon menteri besar dan akhirnya berpuas hati bahawa hanya
seorang calon yang dikemukakan," katanya.
patik sependapat dgn Tuanku Sultan dan memang wajar sekali..
ReplyDelete