Tunggu cerita bekas MB tukar parti

PRU13

Setiap kali menjelang pilihan raya, dunia politik tanah air tidak henti-henti dengan kejutan. Keputusan dan tindakan yang diambil di sana sini banyak yang mengejutkan. Macam-macam cerita, ada yang mudah diterima, tapi ada pula yang bagaikan susah nak dipercayai, hinggalah ia berlaku.
Cerita beberapa tokoh politik, termasuk beberapa orang bekas menteri besar keluar parti atau mahu menyertai parti lain masih terus menjadi bahan perbualan dalam kalangan orang-orang politik dan pengundi di kedai-kedai kopi. Ada yang sudah menafikan, sementara ada pula yang senyum simpul apabila ditanya, hingga membiarkan kita dengan teka-teki.

Bagaimanapun, desas-desut seorang daripada bekas menteri besar sudah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai sebuah parti akan terjawab sehari dua lagi. Kita tunggu...Semalam, pada hari penamaan calon, bahang kepanasan sudah sampai ke peringkat menggelegak, dan bertambah banyak kejutan berlaku.

Apabila rasa khidmat tak dihargai...

Ramai pemimpin dan ahli politik, termasuk Wanita Umno, terkejut apabila Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, membuat kejutan dengan membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Idham Lim (Pas). Sebaik sahaja disahkan sebagai calon, Kamilia, seorang peguam, mengumumkan keluar Umno dan melepaskan semua jawatannya dalam parti Melayu itu.

Beliau juga melepas jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Wanita Umno Kuala Kangsar. Tetapi sebenarnya, mendengar keluhannya dua hari lalu apabila BN tidak memilihnya sebagai calon setelah berhempas-pulas bekerja untuk BN, kita sudah boleh ramalkan tindakan yang beliau akan ambil.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, Kamilia sebenarnya ditawarkan bertanding, bagi kerusi Dun Bukit Chandan dan jawatan Exco jika BN menubuhkan kerajaan di Perak,  tetapi beliau menolak. Apa pun, sekarang jambatan sudah dibakar.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar juga membuat kejutan dengan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang dan seperti Kamilia, beliau juga dipecat.

Sudah bertemukah buku dengan ruas?

Bagi kawasan Parlimen Pasir Mas, calon BN, Che Johan Che Pa, tiba-tiba meninggalkan teka-teki apabila beliau tidak menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon semalam. Beliau mewakili BN dan BN selalu tidak pernah undur.

Macam ada cerita saja...Apakah ia satu strategi? Rasanya hari ini atau esok akan dapatlah jawapan kepada teka-teki itu. Setakat yang kita baca, apabila Che Johan tak bertanding, pertembungan untuk kawasan itu terus jadi dua penjuru, antara penyandangnya, Datuk Ibrahim Ali, dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ini akan membuka pintu luas bagi pemimpin nombor satu Perkasa itu membuktikan apakah beliau masih gagah di kubunya sendiri atas tiket Bebas, atau terpaksa akur kepada kekuatan anak Mursyidul Am Pas itu.

DAP pun tidak terlepas

DAP, rakan gabungan Pakatan Rakyat tidak terkecuali dalam berhadapan dengan kejutan. Dua orang, Jenice Lee dan Sim Tong Him juga berhadapan dengan tindakan pucuk pimpinan apabila masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Dun Teratai dan Kota Laksamana.

0 Komen pengunjong :