KUALA LUMPUR, 27 April — Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali
hari ini berkata beliau akan melawan saman yang dikemukakan Umno
terhadapnya kerana didakwa memfitnah parti majoriti Melayu itu berhubung
pengedaran video seks yang dikaitkan dengan dirinya.
Mustafa
yang
lebih dikenali dengan nama “Cikgu Pa” itu bagaimanapun enggan mengulas
lanjut berikutan video berkenaan yang dimuat naik ke blog-blog di laman
sosial, sebaliknya hanya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.
“Saman Umno saya akan lawan, dia saman tiga, saya, Zul dan Asmuni,”
katanya merujuk kepada Ketua Pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong dan
peguam yang mewakilinya untuk kes itu Asmuni Awi.
“Pasal video saya enggan mengulas lanjut. Kita lawan itu (saman)
dulu. Kalau nak dengar lebih lanjut pergi ke ceramah saya di Rusila,
Terengganu pada 3 Mei depan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat
PAS di sini.
Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap Mustafa pada 22 April
lalu bersama-sama dengan peguamnya dan lidah rasmi PAS, HarakahDaily
kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang
dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS terbabit.
Saman tersebut dikemukakan oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf
Yusoh selaku pegawai awam Umno melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam
Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini.
Tuntutan saman itu melibatkan lima artikel yang disiarkan setelah
Mustafa didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah pada 13 April lalu
apabila video lucah seorang lelaki menyerupainya tersebar di media
sosial sejak 11 April lalu.
Dalam writ saman tersebut, Ab. Rauf menyatakan, kenyataan fitnah itu
diucapkan oleh Mustafa bersama Asmuni dan telah diterbitkan oleh
Zulkifli.
Menurut pihak plaintif, artikel fitnah yang dikeluarkan antaranya
membawa maksud kononnya Umno yang sengaja merancang insiden berkaitan
video lucah itu, Umno menyebarkannya untuk kempen dan Umno menjadi
dalang di sebalik pembikinan video lucah tersebut.
Akibat tuduhan-tuduhan serius yang dilemparkan itu dengan niat jahat,
pihak plaintif menegaskan, Mustafa bertanggungjawab ke atas reputasi
Umno yang terjejas teruk dan pihak plaintif layak diberikan ganti rugi.
Pihak plaintif menuntut supaya, Mustafa berhenti daripada memberikan
kenyataan lanjut berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf tanpa
syarat dan menarik balik penerbitan itu.
0 Komen pengunjong :