SHAH ALAM 26 APRIL : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
yang sering mengeluarkan kenyataan berbeza-beza mengikut masa dan
kumpulan masyarakat dalam siri kempen pilihan rayanya, tidak ubah
seperti ‘sesumpah politik’.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas sikap
bermuka-muka itu yang beliau sifatkan kerana Najib tidak mempunyai dasar
yang jelas untuk membantu rakyat.
Abdul Khalid berkata, Najib menggunakan kenyataan-kenyataan yang
berbaur populis, tanpa mempunyai idea bagaimana untuk menangani isu-isu
yang membelit rakyat.
Ini dapat dilihat dari kegagalan Najib untuk membentangkan pelan membela nasib tujuh juta pekerja di negara ini.
“Contohnya dalam isu dasar kekurangan tenaga pekerja, beliau hanya
mengambil penyelesaian mudah dengan mengambil tenaga pekerja asing
sedangkan apa yang perlu adalah dasar untuk meningkatkan produktiviti
pekerja,” katanya.
Antara yang dibidas Abdul Khalid adalah janji gaji minima RM900 yang
dicanang BN sebelum ini. Malangnya sehingga kini hasrat itu tidak
terlaksana.
“Tambahan pula Presiden MCA Chua Soi Lek membantah cadangan tersebut
kononnya akan memberi kesan kepada para majikan. Nampaknya BN tidak
serius dan tidak faham tentang dasar gaji minima ini.
“Sebaliknya Pakatan Rakyat menjawab kegagalan itu di dalam manifesto
untuk menawan Putrajaya menerusi dasar jelas yang di mana kita
menjanjikan tabung RM2 bilion untuk melaksanakan dasar gaji minima
RM1,100,”katanya.
Di Selangor, Pakatan Rakyat menyediakan bantuan untuk anak-anak
syarikat kerajaan negeri melaksanakan dasar gaji minima RM1,500 sebulan
untuk mengeluarkan pekerja daripada kemiskinan.
0 Komen pengunjong :