Lawak Tok Pa !!!! BN terkejut calon tarik diri beri laluan kepada Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR, 20 April — Barisan Nasional (BN) tidak dimaklumkan mengenai keputusan calon mereka Che Johan Che Pa untuk tidak menghantar borang penamaan calon sehingga menyebabkan calon bebas, Datuk Ibrahim Ali melawan calon PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz secara satu lawan satu di kerusi Parlimen Pasir Mas, kata Datuk Seri Mustapa Mohamad.
Menurut Pengerusi Perhubungan BN Kelantan itu yang mesra dengan panggilan Tok Pa, gabungan pemerintah memandang serius mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap Che Johan.
“Saya sebagai Pengerusi Perhubungan BN Kelantan, ingin menegaskan bahawa kepimpinan Tertinggi BN Kelantan tidak dimaklumkan mengenai keputusan Che Johan Che Pa untuk tidak bertanding sebagai calon Parlimen BN di Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“BN Kelantan terkejut dengan keputusan beliau dan akan merujuk kes ini kepada Lembaga Disiplin parti,” tambah beliau lagi.
Hari ini heboh apabila calon BN Che Johan yang hadir di Pusat Penamaan Calon tidak menghantar borang pencalonannya.
Che Johan yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu juga dikatakan mempunyai talian persaudaraan dengan Ibrahim.
Sementara calon PAS Nik Abduh juga merupakan anak lelaki kepada menteri besar sementara Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu kecewa sebelum ini kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam.
“Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya,” katanya awal minggu ini.
Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan BN agar meletakkan Ibrahim sebagai calon dan berjanji untuk berkempen di Pasir Mas sekiranya presiden Perkasa itu terpilih.
Dr Mahathir yang juga merupakan penaung kepada Perkasa juga berkata, orang-orang seperti Ibrahim diperlukan oleh negara.
Ibrahim sebelum ini pernah mengugut mahu membakar bible berbahasa Melayu dan menjadi jaguh mempertahankan hak keistimewaan golongan Bumiputera walaupun ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim bertanding di atas tiket PAS dan menang kerusi Parlimen Pasir Mas selepas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.
Beliau kemudian berkrisis dengan PAS dan mengumumkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

0 Komen pengunjong :